No Hope – No Agenda

Archive for July, 2010

Pesanan Imam Ahmad Bin Hanbal

|| Bismillah ||

Pernah seorang penuntut ilmu datang kepada Imam Ahmad bin Hanbal R.A meminta suatu pesanan, maka berkata Imam Ahmad kepadanya:

“Jika Allah SWT telah menjamin setiap manusia tentang rezekinya, mengapa pula manusia bersusah-payah untuk mencarinya? Jika rezeki seseorang itu telah ditentukan sekian-sekiannya, mengapa pula ia sampai bertungkus-lumus hendak menambahnya? Jika mungkir janji itu mustahil atas Allah SWT, mengapa pula anda sampai menjadi bakhil? Jika syurga itu benar wujudnya, mengapa pula anda sampai berlengah-lengah dalam hidup? Jika neraka itu memang benar wujudnya, mengapa pula anda suka melakukan maksiat di dalam dunia? Jika dunia ini akhirnya akan binasa, mengapa pula anda merasa tenang sentiasa? Jika hisab itu benar berlaku, mengapa pula anda suka mengumpul harta benda? Jika segala sesuatu berlaku qadha dan qadar, mengapa pula anda mesti bersedih hati?”

Renungkanlah kata-kata mutiara dari Imam Ahmad Bin Hanbal ini. Dan selamilah erti dan maksud dari falsafahnya; nescaya kita akan sedar dan insaf. Insya Allah. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati kita semua hendaknya, Amin :-)

|| Alhamdulillah ||

Saya Nor Affidah Nazurah Bt. Roshman ingin mengucapkan selamat menempuhi hari-hari bahagia di bulan Ramadhan al-Mubarak yang tinggal beberapa hari lagi. Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang dimuliakan dan dihayati seperti sebelum-sebelum ini dan semoga memperolehi kemenangan dalam penyucian hati dan diri insya Allah. RAMADHAN KAREEM (^_^)


Jujurkah Kita Tentang Cinta?

|| Bismillah ||

Sudah lama saya ingin menulis entri tentang ini iaitu tentang cinta, tetapi selalu tidak berkesempatan atas kesibukan kerja. Harus di ‘edit’ dan selalu saja masuk ‘draft’ sehinggalah saya puas hati. Dan inilah serba sedikit yang ingin saya kongsikan bersama anda semua. Semoga Allah merahmati anda hendaknya :-)

JANGAN KHIANATI CINTA.

Saya akui, kebanyakan wanita diluar sana selalu saja mengeluh dan menghela nafas kerisauan tentang cinta. Pernahkah kita terfikir betapa indahnya cinta itu apabila kita menghayatinya dan melaksanakannya penuh jujur. Namun sebaliknya yang berlaku kerana cinta sering dikhianati. Jika kita cinta maka haruslah jujur dengan hati. Di hati mengatakan cinta, namun di mulut mengatakan sebaliknya. Akhirnya, anda-lah yang merasakan betapa seksanya tubuh dan hati tentang hipokrasi perasaan yang anda sendiri ciptakan. Bagaimana harus jujur? Katakan saja anda cinta. Meluah adalah lebih baik daripada menahannya untuk terseksa bertahun.

Bagaimana pula melahirkan sesuatu perasaan ke situasi yang realiti? Dan bagaimana pula membuktikannya? Sudah tentu jawapannya, anda sanggup melakukan apa saja demi cinta anda kepada si dia. Perbuatan anda seiring dengan perasaan cinta yang lahir dari hati yang jujur. Anda sanggup memberi ruang dan masa yang lebih kepada si dia. Itulah terjemahan perasaan cinta anda melalui perbuatan atau kelakuan.

Apa yang pasti, apabila kita mencintai Allah SWT sudah tentu kita tahu apa yang dikehendaki-NYA dan kita mengerti apa kemurkaan-NYA. Mencintai Allah SWT ada caranya, bukan hanya dengan berpuitis. Mari kita renungkan ingatan dari Allah SWT ini;

tuhibbunallah.JPG

“Katakanlah: Jika sesungguhnya kamu itu mencintai Allah maka ikutlah aku, nescaya kamu juga akan dikasihi oleh Allah, dan akan diampun-Nya kesalahanmu. Dan Allah itu Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Aal Imraan 3: 31)

Jika cintakan Allah, contohilah Rasulullah SAW. Semoga kita menyibukkan diri dengan belajar, berdakwah dan memberi peringatan bersama membela agama demi cinta kita kepada Allah SWT dan Rasul-NYA. Jangan sesekali mengkhianati cinta dan belajarlah mencintai walaupun kadang-kadang pernah lalai. Pernah lalai itu adalah kebiasaan manusia yang sememangnya selalu saja terlupa namun bukan kebiasaan jika tidak mahu berubah dan bertaubat walau sesekali. Mudah-mudahan kita tergolong dalam manusia yang sentiasa saja bertaubat dan berusaha ke arah menggapai cinta karamah yang didambakan setiap hamba Allah SWT. Betapa banyak ujian untuk menggapainya, namun segala-galanya bukan mustahil untuk berusaha bukan hanya kerana petah berpuitis :-) Hanya jiwa tulus dan suci yang dapat menilai nawaitu diri yang sebenar untuk mencapai keredhaan yang di idam-idamkan (selamat mencari kecintaan yang didamba :-) )

JODOH ADALAH KESABARAN DAN KEAJAIBAN.

Setiap manusia sudah ditetapkan takdir yakni qada’ dan qadar masing-masing melalui ketetapan Allah SWT sejak azali lagi. Sebagai contoh, sebelum kejadian alam semesta, Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya di ikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Sebagai contoh lagi, Allah SWT telah menetapkan kaum wanita yang akan mengandung dan melahirkan anak dan bukannya kaum lelaki dan ini juga tidak dapat di ubah. Allah juga menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pun dapat mengubahnya hatta pakar perubatan sekalipun. Ini adalah sebahagian dari ketetapan qada’ dan qadar.

Tahukah anda, apabila hati selalu sudah mendampingi Tuhan, selalu berbicara dengan-NYA (yakni berdoa), selalu saja mendahulukan DIA dalam segenap perkara yang dilakukan, nescaya suatu pemberian yang tiada pada orang lain akan dianugerahkan kepada anda; iaitu firasat hati. Maksudnya di sini, kita memberi sepenuh jiwa raga pada Tuhan maka Tuhan juga memberi. Jika kita mencintai-NYA, DIA juga pasti mencintai kita. Apabila kita laksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah pasti DIA membalasnya jua. Dan persoalannya di sini;

Bagaimana pula tentang jodoh?

Kebiasaannya, dalam urusan mencari jodoh atau mencari pasangan ini kebanyakan orang terlalu berhati-hati. Harus teliti dalam mencari, merencana, menyelidik dan proses memilih pula. Ini kerana mencari pasangan adalah bukan seperti mencari kasut yang hendak dipakai beberapa bulan akan tetapi ini adalah mencari pasangan dan peneman sepanjang kehidupan kita dan bukanlah apabila ia rosak harus buang dan ganti yang baru sesuka hati. Kerana dialah pasangan kita sampai ke syurga dan mungkin dialah juga yang menunggu di pintu syurga kelak. Dialah satu-satunya teman kita bermula dari dunia (pandang pertama) sehingga ke alam syurga, alangkah indahnya!

Adapun wahai pembaca budiman, ingin saya kongsikan beberapa perkara. Dalam proses mencari jodoh, jiwa harus bersedia dalam menghadapi sesuatu yang sesuai dengan keinginan kita dan juga bersedia menghadapi jika sesuatu yang tidak sesuai dengan keinginan kita. Apabila dalam proses mencari pasangan, berlapang dada adalah sangat penting kerana tidak semua keinginan kita sesuai dalam kehidupan kita.

“Mungkin apa yang kamu sukai itu tidak baik bagi kamu, dan apa yang kamu benci itu terbaik untuk kamu, ALLAH lebih mengetahui sedangkan kamu (wahai manusia) tidak mengetahui (baik dan buruknya).” Surah al-Baqarah.

Tugas kita hanya dua. Meluruskan niat dan menyempurnakan ikhtiar. Yang terbaik hanyalah ALLAH YANG MAHA TAHU. Punya keinginan adalah yang baik, tetapi kalau kita merasa tahu atas yang terbaik itu bukan sikap orang yang beriman. Menyandang status ‘Andartu’ atau ‘Bujang Terlajak @ Lapok’ bukanlah satu kesalahan besar akan tetapi mereka yang menggelarkannya mungkin terlupa qada’ dan qadar Tuhan yang sudah pun kita maklum sebenarnya. Setiap apa yang berlaku pada diri kita adalah dengan izin Allah SWT barulah ianya akan berlaku tetapi harus ingat, selepas kita berdoa yakni mendampingi Allah SWT, meminta kepada-NYA dan berusaha selaras dengan niat. Jangan pernah lupa itu!

JANGAN MENYUKARKAN DIRI.

Sikap terlalu berhati-hati dalam mencari pasangan juga ada sulitnya dalam jalan menemui pengakhirannya. Takut-takut apa yang dihajati, berciciran bak daun kering yang sudah layu dek terlalu lama ‘bertahan’ kerana malu hendak meluah dan mengatakan yang sebenarnya apa tersirat di dalam hati. Hati mengatakan ‘YA’ tetapi masih bermain tarik-tali dan akhirnya terputus begitu saja dengan sia-sia. Usaha mencari pasangan harus perlu meluah dengan jujur dan jangan ‘bertidak-tidak’ walhal perasaan sudah pun jelas menyintai dirinya. Sehingga ke saat ‘kritikal’ dan jiwa memberontak pun masih lagi ‘bertidak-tidak’ maka tinggallah diri terseksa dan menanggung perasaan kecewa berseorangan menanggung cinta tidak kesampaian. Sedangkan jika hasrat murni itu tadi jika awal-awal disampaikan kemudian ditunaikan, akan dapat menutup sebahagian daripada pintu-pintu dosa. Dengan itu, tidaklah terjadi ‘syok sendiri’ atau SS :-)

Kalaupun si dia bukan jodoh; (kerana dia menolak lamaran anda) namun apabila anda sudah meluah dan menyampaikan hasrat murni anda, sekurang-kurangnya anda tahu dan boleh membuat keputusan selanjutnya; membuang si dia terus dari hati anda daripada duduk sahaja menanti jodoh yang belum pasti kerana bersikap ‘malu-malu’ dan ‘tidak-tidak’ itu tadi. Apabila ini berlaku, kita tahu bahawa pasti ada seseorang yang lebih baik dan sesuai dengan keinginan kita yang Allah telah tetapkan. Maka harus teruskan berdoa dan berusaha selaras dengan niat kita. Ini membuatkan kita lebih dekat dengan Allah dan lebih berserah kepada-NYA. Bukankah, jodoh ini adalah kesabaran dan keajaiban? Apabila anda bersabar dan langsung berdoa tidak putus pada Allah SWT dan terus berusaha ke arah itu, insha Allah pasti berlaku keajaiban yang menggembirakan. Si dia pasti bertemu anda di saat waktu yang tepat!

ISTIKHARAH.

Mukmin yang sejati adalah bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. DIA-lah Pendahulu dan Pengakhiran. Kita mendahulukan-NYA (dengan berdoa kepada-NYA) dan mengakhirkannya dengan tawakkal.  Dan bersyukur selepas memperolehinya. Inilah ISLAM yang terlalu cantik dan indah! Apa jua situasi kita diberi ganjaran jika bergantung dan berserah segala-galanya kepada Allah SWT. Begitu juga soal jodoh, ianya lebih-lebih lagi meminta petunjuk daripada Allah kerana mencari pasangan bukanlah perkara yang remeh-temeh.

Dalam Islam, memohon petunjuk melalui solat di sebut sebagai solat istikharah. Para ulama tidak kira di dalam perkara yang kecil mereka akan mengamalkan solat ini, agar petunjuk sentiasa berada bersama mereka. Apatah lagi jika ia berkaitan dengan perkara yang besar seperti mencari dan memilih teman hidup. Jawapan yang anda bakal perolehi adalah jawapan yang terbaik, secara langsung daripada Tuhan; jawapan yang diilhamkan itu tidak sama seperti perencanaan kita, ia tetap terbaik kerana itu adalah hasil rencana Tuhan.

Oleh kerana itu, istikharah adalah cara terbaik memohon segala petunjuk.

|| Alhamdulillah ||

nota-kaki : article referred from some trusted sources and the rest is the author own ideas, thanx!


Nisfu Sya’ban

|| Bismillah ||

AMALAN BACAAN YAASIN

Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban ( 15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.

Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masakini tentang sahih batilnya amalan ini.

Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.

Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!

‘SOLAT SUNAT’ NISFU SYA’BAN.

Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?” [al-Syur.a 42:21]

Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya… Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya.

Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.

Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.

Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.

Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.

Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.

Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” [al-Nisa’ 4:59]

“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]

Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.

Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…

Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”

Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).

|| Alhamdulillah ||

Sumber : Syukran Li-Sadiiqati ‘RENY WIDARTY’ — Li tuqaasim hazihil ma’rifah. Jazakillah khairan kathiraa :-)


Malaikat Kecil – Tapi Ayah, Adakah Manusia Tidak Masuk Neraka Jika Hari Hujan?

|| Bismillah ||

Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat dan selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama.

Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.

Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”.

Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”.

Budak itu menjawab Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini.

Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.

Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”

Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”.

Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”.

Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .

Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.

Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang.

Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.

Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.

Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya,

“Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.

Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata,

“Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu”.

Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, “ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker,

Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.

Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati. Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.

Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel. “Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk Jalan Ke Syurga yang saya sedang pegang ini.

Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi.

Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka. ”

Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk.

Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya. Inilah satu peristiwa..

Berbahagialah anda kerana membaca kisah ini. Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja. Bacalah lagi dan sampaikan kepada yang lain. Syurga adalah untuk umat-Nya. Ingatlah, dengan menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup seseorang yang hampir dengan anda. Sila kongsi kisah menarik ini.

Sebarkanlah kalimah Allah, kalau kita bantu Allah, Allah akan membantu kita dalam semua perkara yang kita buat.
Maksud firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3;

“…pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani..”

Wallahu ’Alam


|| Alhamdulillah ||

Sumber: Suriani Suhaidithanks to the willingness to share this message to me. May Allah bless you, Amin!


My Heart Is Still There (^_^)

|| Bismillah ||

Semalam sebelum tidur, tiba-tiba teringat beberapa perkara. Harus tau, aku sudah 22 hari di sini. Sisa-sisa bau Mesir masih lagi melekat di hidung, heh. Ape lak ‘bau’ kan? Macam tak sopan je, tapi i mean segalanya tentang Mesir masih segar di dalam ingatan, hati dan perasaan aku. Angan-angan sungguh aku untuk ke sana lagi. Bila agaknya ye? Huhu..

Masih teringat sekali ‘mantiqah kuliyyah’ — kawasan kuliyyah (universiti). Sangat rindu naik bas ke kuliyyah. Kadang-kadang naik teksi jugak. Sungguh rindu cakap separuh menjerit “Ala ganbi, lau-samah!” apabila hendak turun dari bas. Sungguh rindu memberi salam setiap kali masuk ke kedai-kedai runcit. Beri salam sebelum naik bas atau teksi. Beri salam kepada kaum muslimin dan muslimat di mana-mana. Sungguh INDAH budaya ini. Teringat setiap kali masuk waktu solat, berduyun-duyun kaum muslimin ke jami’ (masjid) untuk menunaikan solat berjemaah. Jika tidak cukup ruang, sanggup membentang tikar/sejadah sampai ke luar malah kadang-kadang di jalan raya untuk solat berjemaah.

Sudah menjadi kebiasaan aku (dan kami) menjaga wudhu ketika berada dalam waktu kesibukan. Sungguh mudah agama Islam itu. Tidak ada alasan sebenarnya untuk meninggalkan kewajiban solat ketika sesibuk mana pun kita. Apabila masuk waktu solat, selalunya tidak susah untuk mencari jami’ kerana rasanya di setiap mantiqah sakaniyyah (kawasan penempatan) mungkin ada 20 buah masjid malah lebih. Di Kaherah saja suda lebih 50 buah masjid. Azan akan bergema menyeru untuk bersolat dalam beberapa ‘seruan’. Sangat rindu itu! Bayangkanlah, ada 20 masjid dan mestilah setiap masjid ada mu’azzin. Betapa indahnya mendengar seruan azan yang tidak putus-putus untuk kita dengarnya. Di kawasan rumah sewa aku dulu, ada 5 buah masjid berdekatan. Kompom subuh pasti bangun kerana azan bergema dalam 5 suara mu’azzin yang berbeza Ada yang cepat, ada yang lambat sedikit dan setelah itu seruan iqamah juga pasti kedengaran silih berganti. Bila agaknya akan aku dengar itu lagi?

Bukan itu sahaja yang aku rindui, suasana bulan mulia Ramadhan juga selalu ditunggu-tunggu kami ketika di sana. Di Mesir, bulan Ramadhan adalah satu ‘perayaan’ yang ditunggu-tunggu dan akan diraikan sangat meriah. Rumah-rumah akan dihias dengan ‘color-light’ dan lampu serupa tanglung (tetapi bentuknya seperti kubah masjid dan sangat cantik ketika malam) Anda akan melihat suasana cantik ini terutama waktu malam. Dimana-mana ada cahaya yang berkelip-kelip Setiap kali Ramadhan juga, orang arab akan menjual manisan-manisan Ramadhan (yang dipanggil, ‘Yamish Ramadhan”) kerana manisan ini hanya dijual ketika bulan Ramadhan. Ada bermacam-macam jenis manisan, dan ada juga berupa kuih. Ada dua jenis kuih (Qatayif dan Khunafa) Selalunya, selepas solat tarawih kami akan singgah kedai manisan ini untuk membeli qatayif dan khunafa. Memang sedap. Dan selalunya, khunafa akan digoreng bersama pisang (resepi orang Malaysia di di sana hehe) sungguh di komersialkan Satu lagi budaya orang arab ketika di bulan Ramadhan, ketika terjumpa sesama mereka (atau kami, heh) atau ketika bermuamalah di kedai, menjadi kebiasaan akan melafazkan ‘RAMADHAN KAREEM’ kepada sesama kaum muslimin dan muslimat. Itu adalah lafaz pujian pada bulan mulia inilah. Kadang-kadang, kita boleh juga jawab lafaz itu dengan memuji Allah SWT dengan memuji ‘ALLAHU AKRAM!’ Sungguh rindu suasana ini. Huhu..

Teringat ketika bulan Ramadhan tahun lepas, masih dalam musim panas ketika itu. Kalau solat tarawih tu, paham-paham la kan.. Memang agak-agak panas dan imam pulak akan membaca surah dalam masa yang agak lama. Dugaan juga tapi Alhamdulillah, sebenarnya semua itu indah (tentang ini aku suda post entri di blog ini. sila klik kalau anda sedang rajin) Tetiba teringat juga, kebiasaan kami ketika di Mesir akan menunaikan puasa ganti (heh) ketika musim sejuk. Kenapa? Sebab, waktu siangnya agak pendek. Jam 5 pm (lebih) sudah masuk waktu maghrib. Waktu siang terasa amat singkat dan lagipun sangat sejuk. Kalau ke mana-mana tidak terasa haus sangat. Cooool jee.. ;-)

Walaubagaimana pun wahai kawan-kawan, aku sudah ‘meninggalkan’ semua itu di sana. Apa yang aku tau, perkara-perkara yang baik selama aku hidup di Mesir dulu akan dikenang dan diteladani. Betul tak? Ada rezeki, pasti aku ke sana lagi. Pasti! Sekarang has started a new life la kononnye.. Hari ini suda hantar resume ke JHAEINS (apply keja ka kau Pida??? heh) Apa-apa pun, mohon doa kamu wahai kawan-kawan sekalian. Doa’in saya ya! Agar bisa cepat-cepat membalas jasa kedua mama dan abah. Itu harapan menggunung ketika ini. Terima kasih atas doa, sokongan dan dokongan anda semua! Aku hargainya. Dan tidak lupa buat sahabat yang baik MOHAMAD ZAINAL ABIDIN (Haikal Solomon ) Syukran jazilan. Jazakallahu khairan kathira. Anda sahabat yang baik, dan mohon doanya ya. Sekian untuk kali ini. See ya!

|| Alhamdulillah ||

nota-kaki : original entry from my other blog site  “A Million Miles” (you can click here. ) — just wanna share with you buddies! thanx for visiting :-) need to know, not 22 days but most likely already be five months, but since this entry was impersonate so i did not change 22 days to five months.  I have been here (Sabah, Malaysia) five months are probably. Thank you


Peristiwa Isra’ Mikraj (Masih Ingatkah Kita?)

Mafhum Firman Allah S.W.T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah Al-Israa’: Ayat 1)



Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah dan jika kita fikirkan dari segi logik akal maka dakwah Islam pasti akan terkubur.

Namun kuasa Allah melebihi segala-galanya iaitu selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif iaitu ketika penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah.

Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif.

Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam iaitu kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil dalam negara yang banyak tetapi ia tidak membantu dalam membentuk umat Islam yang bersatu serta menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri.

Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.

Sejarah Isra’ dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Isra” itu.

Semasa Isra’
(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)

Sepanjang perjalanan (isra’) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj
(Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ila ha illallah allahuakbar dan Wa La Haulawala Quwata Illabillahil Azim.

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T: Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)


Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Rasulullah saw langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah swt. Allah swt telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Rasulullah saw.

Masih terlekakah kita?



MARI KITA DEMONSTRASI HARI-HARI! (Original Post by: Ustaz Pahrol Muhammad Juoi)

|| Bismillah ||

Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.

“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”

Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.

“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”

Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.

“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”

Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”

“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”

“Kenapa Pak Cik?”

“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”

“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.

“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”

Winston from America?” bisik saya perlahan.

Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.

“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.

“Apa dia?”

“Solat Subuh berjemaah.”

“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.

“Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”

“Kita mesti sanggup memikul senjata.”

“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”

“Saya tak faham.”

“Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”

“Apa yang menyakitkan mereka?”

“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”

“Jadi?”

“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah SAW dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”

Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak cik tersebut dengan senyuman.

“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”

“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”

“Awak sindir saya?”

“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”

“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”

Lagi-lagi ke situ fikirnya.

“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”

“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”

“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”

“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”

“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”

“Contoh?”

“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”

Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”

“Ketiga-tiga isme itu sama.”

“Sama?”

“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”

“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”

Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.

“Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”

“Misalnya?”

“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”

“Lagi?”

“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”

“lagi?”

“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”

“Idola Amerika?”

“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”

Pak Cik itu batuk-batuk. Saya urut belakangnya.

“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.

“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”

“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”

“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”

“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? “

“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”

“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”

Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?

Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!

Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:

“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”

Dan alangkah baiknya jika jeritan Allahu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?

|| Alhamdulillah ||

Sumber: Artikel dari Ustaz Pahrol Muhammad Juoi. Sila klik di sini untuk pautan berkaitan. (Terima kasih Ma’azatul Adawiyah atas kiriman emelnya :-) )


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.