Aqidah

Melayu/Islam Masakini :'(

|| Bismillah ||

by Fadhil Azwir.

Nowdays di sana sini, golongan remaja, kanak-kanak dan orang tua heboh menceritakan kegilaan dan taksub terhadap Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Konsert Sureheboh TV3, Audition dan Who Will Win. Mereka secara terang-terangan menangisi peserta yang kalah di dalam pertandingan tersebut. Yang tua sama sahaja meratapi peserta yang diumumkan kalah. Lebih malang lagi yang muda berpesta tangisan dan berpeluk-pelukan dengan bukan mahram tanpa sedikitpun rasa segan silu dan bersalah. Yang berada di pentas juga berpeluk-pelukan tanpa mengenal sempadan dan batasan sebagai seorang Islam. Zaman para sahabat dahulu, mereka merintih dan menangis kerana tidak dapat turut serta berjuang di medan perang bersama Rasulullah SAW. Para sahabat menangis sedih jika tidak dipilih untuk berperang kerana terlepas satu peluang untuk mati syahid.

Remaja Melayu/Islam menangis sedih sambil berpelukan dengan bukan mahram kerana tidak menang dan terpilih sebagai penyanyi dan penghibur. Orang yang ada sedikit kewarasan dan saki baki iman di dada akan berdetik di hatinya untuk berkata: “apa sudah jadi dengan anak bangsaku”

Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Umatku akan ditimpakan penyakit yang pernah menimpa umat yang terdahulu”. Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah penyakit umat terdahulu itu”. Rasulullah SAW menjawab: “Terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam mencari harta dunia, cepat marah dan hasud menghasud sehingga berlaku kezaliman”.

Hadis diriwayat oleh Hakim.

 

Berdasarkan hadis ini, salah satu perkara yang menjadi penyebab kehancuran dan kemusnahan umat yang terdahulu ialah kerana terlalu banyak berseronok dan kuat berhibur. Yang peliknya 95 peratus peserta adalah masyarakat Melayu/Islam. Penontonnya pula hampir semunya Melayu/Islam. Inilah satu penyakit baru yang sedang melanda masyarakat Melayu/Islam. Apakah tidak terfikir bahawa satu hari nanti masyarakat Melayu/Islam bakal dimusnahkan oleh Allah SWT seperti umat yang terdahulu.

Cuba kita tanya mereka, kenalkan mereka kepada pejuang Islam yang syahid di medan perang. Kenalkakah mereka terhadap para sahabat Rasulullah SAW. Kenalkah mereka terhadap Rasulullah SAW itu sendiri. Mungkin mereka tidak pernah mendengar nama-nama besar di dalam sejarah Islam seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan, Ali bin Abi Tholib, Amru al-Ash, Zubair al-Awwam, Zaid bin Thabit, Zaid bin Haritsah, Khalid al-Walid, Hamzah bin Abdul Mutalib, Saad bin Abi Waqas dan banyak lagi.

Tanyakan pula pada mereka apakah mereka kenal dengan peserta popular Akademi Fantasia atau penyanyi popular Barat. Sudah pasti jawapanyanya kenal dan teramat kenal. Mereka pasti kenal penyanyi berimej seks seperti Britney Spears,Justin Bieber,LMFAO, semua penyanyi Linkin Park dan banyak lagi. Mereka bukan setakat kenal malah mengikuti dan menghayati gaya hidup seharian artis popular ini. Para artis dimuliakan dan disanjung tinggi dan mendapat tempat di hati mereka. Lebih parah lagi mereka jadikan artis sebagai idola. Di dalam hal ini Rasulullah SAW ada memberi ingatan tentang perkara yang menyebabkan bala segera diturunkan ke atas sesuatu umat: Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Daripada Ali bin Abi Tholib R.A. Rasulaullah SAW bersabda: Apabila umatku telah membuat lima belas perkara maka bala pasti akan turun ke atas mereka: apabila harta negara beredar pada orang-orang tertentu sahaja, apabila amanah dijadikan sebagai satu sumber keuntungan, apabila zakat dijadikan hutang, apabila suami memperturutkan segala kehendak isteri, apabila anak derhaka kepada ibunya, apabila anak-anak hanya mendengar cakap kawan-kawannya, apabila anak-anak menjauhkan diri daripada bapanya, apabila suara ditinggikan di dalam masjid, apabila orang yang menjadi ketua bagi sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di kalangan mereka, apabila seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya, apabila arak sudah diminum di serata tempat, apabila kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki, apabila artis disanjung dan dimuliakan, apabila muzik banyak dimainkan orang dan apabila generasi akhir umat melaknat dan menyalahkan generasi para sahabat”.

Hadis diriwayatkan oleh Tarmizi.

 

Kita renung bersama kata-kata Prof Dr Yusuf Qardahwi: “Kalau ingin melihat rupa bentuk sesuatu bangsa pada masa akan datang lihatlah remajanya hari ini”. Beliau juga berkata : “Petanda sesuatu bangsa akan musnah, terlebih dahulu musnah akhlaknya”.

Bangsa Melayu/Islam khususnya golongan remaja menepati ciri-ciri bangsa yang bakal dihancurkan kerana akhlaknya telahpun musnah, Tidak mustahil bangsa Melayu/Islam akan menjadi satu bangsa yang bakal terhapus sebagaimana umat terdahulu yang telah dimusnahkan oleh Allah SWT kerana terlalu banyak berseronok dan berhibur. Amat malang bagi masyarakat Melayu/Islam sekiranya program seumpama ini tidak dapat dihentikan dalam masa yang terdekat. Tidak ada gunanya kita bercakap soal “nation building” jika di sana sini kita biarkan perkara yang meruntuhkan “nation building” berlaku secara berleluasa. Program hiburan melampau ini sebenarnya bukan setakat mengagalkan “nation building” tetapi akan menghancurkannya. Percaya dan yakinlah orang yang semasa mudanya banyak berhibur dan bergembira di waktu tuanya akan banyak berduka. Masyarakat yang kuat berhibur dan lalai dengan perkara yang mengasyikkan akan berduka akhirnya.

 

Seperti yang kita lihat rancangan di negara kita sekarang tanpa sempadan. Rancangan hiburan lagi banyak dari rancangan membina JATI DIRI masyarakat seperti di negara-negara maju yang lain.

Sebagai kesimpulannya berhibur tidaklah dilarang terus oleh Islam tetapi biarlah kena dengan bentuk dan jenisnya. Hiburan jenis melampau dan taksub ini tentu sahaja dilarang keras oleh Islam. Hiburan yang melampau dan taksub ini menjadi penggalak kepada kegiatan maksiat dan dosa yang lain seperti zina, minum arak, hisap dadah, bergaduh dan sebagainya. Marilah kita sama-sama fikirkan tentang “nation building” pembinaan bangsa bukan dalam bentuk slogan semata-mata tetapi dalam bentuk implimentasinya.

Sumber : Facebook

|| Alhamdulillah ||


MUHARAM 1432H

|| Bismillah ||

MUHARAM. Bulan pertama dalam kalendar Islam. Terlalu sinonim dengan ‘Awal Muharam’ atau ‘Maal Hijrah’ bagi rakyat Malaysia. Ma’al Hijrah bererti dalam bahasa melayu adalah ‘Bersama-sama berhijrah’. Untuk merungkai lagi erti dalam erti, boleh dikatakan berhijrah atau berpindah dari sesuatu kepada sesuatu yang lain. Atau berhijrah/berpindah dari tempat ke tempat yang lain. Semestinya bukan tempat yang lama/terdahulu. Kena berpindah ke tempat yang baru. Dalam erti yang lain pula, hijrah bermaksud  (dalam ertikata rohani) iaitu meninggalkan satu-satu sikap, kepercayaan, tasawwur, emosi dengan menggantikannya kepada yang lain.

Jadi kawan-kawan, apa yang kita faham di sini maksud penghijrahan atau perpindahan ini adalah sesuatu yang sangat dituntut dalam agama. Kerana Nabi junjungan kita Baginda Nabi Muhammad SAW telah berhijrah pada bulan Muharam. Saat itulah permulaan (bulan Islam) penghijrahan Baginda bersama sahabat dan pengikut Baginda yang beriman ke Kota Madinah kerana bertujuan untuk menyelamatkan agama dan aqidah dari ancaman musyrikin, mencari jalan bagi memantapkan usaha dalam mengembangkan risalah Islam ke seluruh manusia sekalipun terpaksa menanggung kerugian duniawi. What about us? Penghijrahan kita pula yang bagaimana? Tepuk dada tanya iman!  Setiap penghijrahan perlu ada azam. Azam kita pula apa? Tepuk dada tanya iman :’)

Jika anda tanyakan saya, serba ringkas — i must do anything truly worth doing to myself. WORTH. Anda begitu berharga sebenarnya. Terpulang untuk anda bagaimana menghargai diri sendiri. Tidak perlu explain sebanyak yang mungkin tentang azam dan penghijrahan, tapi USAHA ke arah yang lebih baik dan (worthy) selepas ini adalah yang penting ! Semoga dengan adanya azam dan usaha ke arah yang anda maksudkan (niatkan) itu mendapat keredhaan Allah SWT dan seterusnya dapat dicapai dengan izin-NYA insha Allah. Anda telah berniat maka tiap-tiap niat baik anda itu akan diberi ganjaran pahala, apatah lagi usaha untuk melaksanakannya kelak. Anda berniat untuk memperbaiki diri sudah memadai untuk satu penghijrahan ‘besar’ dalam hidup. Tidak perlu ada azam yang terlalu ‘besar’ akan tetapi belum tentu ada usaha untuk melaksanakannya :’)

Semoga apa yang telah kita do-lists-kan sebagai azam (target, goal) sempena tahun baru Islam ini akan tercapai selaras dengan niat dan usaha kita ke arah itu. Mudah-mudahan sukses ya kawan-kawan ! :’) Bukan sahaja dari segi rohani dan jasmani akan tetapi mungkin dari segi kerjaya. Selamat Meraikan Tahun Baru Islam 1432H. Ianya detik permulaan yang akan membawa kita penghijrahan dan perubahan yang diredhai Allah SWT hendaknya, Amin Ya Rabb.

|| Alhamdulillah ||

nota – kaki : sila klik di sini untuk bacaan doa awal & akhir tahun Islam.


Paderi Terpaksa Buka Rahsia

|| Bismillah ||

Ada seorang pemuda Arab yang baru saja menyelesaikan bangku kuliahnya di Amerika. Pemuda ini adalah salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah berupa pendidikan agama Islam bahkan dia mampu mendalaminya. Selain belajar, dia juga seorang jurudakwah Islam. Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah SWT memberinya hidayah masuk Islam.

Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula-mula dia keberatan, namun kerana desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku dengan hening, sebagaimana kebiasaan mereka.

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Di saat itu, si paderi agak terbeliak ketika melihat kepada para hadirin dan berkata, “Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini.” Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata, “Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya.” Barulah pemuda ini beranjak keluar.

Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi, “Bagaimana anda tahu bahawa saya seorang Muslim?” Paderi itu menjawab, “Dari tanda yang terdapat di wajahmu.”

Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan kehadiran pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan agamanya. Pemuda Muslim itupun menerima tentangan debat tersebut.

Paderi berkata, “Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat.”

Si pemuda tersenyum dan berkata, ‘Silakan!’

Sang paderi pun mulai bertanya :

“Sebutkan satu yang tiada duanya, dua yang tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada limanya, lima yang tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada delapannya, delapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya, sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya.”

“Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh! Apa yang dimaksud dengan kuburan berjalan membawa isinya? Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam surga? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia tidak menyukainya? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!”

“Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api dan siapakah yang terpelihara dari api? Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?”

“Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar! Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?”

Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah.

Setelah membaca ‘Bismillah’ dia berkata :

Satu yang tiada duanya ialah Allah SWT.

Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah SWT berfirman, “Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran Kami).’”(Al-Isra’: 12).

Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.

Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur’an.

Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.

Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah SWT menciptakan makhluk.

Tujuh yang tiada delapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah SWT berfirman, “Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang.” (Al-Mulk: 3).

Delapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy ar-Rahman. Allah SWT berfirman, “Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung ‘Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka.” (Al-Haqah: 17).

Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mu’jizat yang diberikan kepada Nabi Musa yaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin taufan, musim paceklik, katak, darah, kutu dan belalang.

Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah SWT berfirman, “Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali lipat.” (Al-An’am: 160).

Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah Saudara-Saudara Nabi Yusuf .

Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mu’jizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, “Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, “Pukullah batu itu dengan tongkatmu.” Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air.” (Al-Baqarah: 60).

Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.

Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh. Allah SWT berfirman, “Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing.” (At-Takwir)

Kuburan yang membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus AS.

Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam surga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf, yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, “Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala.’ Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, ‘Tak ada cercaan terhadap kamu semua.’ Dan ayah mereka Ya’qub berkata, ‘Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf:98)

Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keldai. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keldai.” (Luqman: 19).

Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Shalih dan Kambing Nabi Ibrahim.

Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim. Allah SWT berfirman, “Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim.” (Al-Anbiya’:69).

Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Shalih, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya Wanita, sebagaimana firman Allah SWT “Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar.” (Yusuf: 28).

Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi. Namun dia mengurungkan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan sahaja. Permintaan ini disetujui oleh paderi.

Pemuda ini berkata:

“Apakah kunci surga itu?”

Mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kekuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak.

Mereka berkata, “Anda telah melontarkan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya!”
Paderi tersebut berkata, “Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut kalian marah.”

Mereka menjawab, “Kami akan jamin keselamatan anda.”

Paderi pun berkata :

“Jawapannya ialah: AYSHADU ALLA ILAHA ILALLAH WA ASYHADU ANNA MUHAMMADAR RASULULLAH.

Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertaqwa .

Wallahu ‘Alam

|| Alhamdulillah ||

–> Original Posted by Dunia Islam (sila klik di sini untuk pautan berkaitan, TQ) Thanks to Hasnul Hadi Ahmad for the amazing info. Jazakallah.


Nisfu Sya’ban

|| Bismillah ||

AMALAN BACAAN YAASIN

Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban ( 15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.

Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masakini tentang sahih batilnya amalan ini.

Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.

Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!

‘SOLAT SUNAT’ NISFU SYA’BAN.

Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?” [al-Syur.a 42:21]

Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya… Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya.

Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.

Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.

Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.

Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.

Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.

Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” [al-Nisa’ 4:59]

“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]

Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.

Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…

Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”

Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).

|| Alhamdulillah ||

Sumber : Syukran Li-Sadiiqati ‘RENY WIDARTY’ — Li tuqaasim hazihil ma’rifah. Jazakillah khairan kathiraa :-)


MARI KITA DEMONSTRASI HARI-HARI! (Original Post by: Ustaz Pahrol Muhammad Juoi)

|| Bismillah ||

Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.

“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”

Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.

“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”

Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.

“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”

Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”

“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”

“Kenapa Pak Cik?”

“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”

“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.

“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”

Winston from America?” bisik saya perlahan.

Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.

“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.

“Apa dia?”

“Solat Subuh berjemaah.”

“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.

“Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”

“Kita mesti sanggup memikul senjata.”

“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”

“Saya tak faham.”

“Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”

“Apa yang menyakitkan mereka?”

“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”

“Jadi?”

“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah SAW dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”

Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak cik tersebut dengan senyuman.

“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”

“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”

“Awak sindir saya?”

“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”

“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”

Lagi-lagi ke situ fikirnya.

“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”

“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”

“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”

“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”

“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”

“Contoh?”

“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”

Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”

“Ketiga-tiga isme itu sama.”

“Sama?”

“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”

“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”

Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.

“Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”

“Misalnya?”

“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”

“Lagi?”

“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”

“lagi?”

“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”

“Idola Amerika?”

“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”

Pak Cik itu batuk-batuk. Saya urut belakangnya.

“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.

“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”

“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”

“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”

“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? “

“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”

“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”

Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?

Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!

Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:

“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”

Dan alangkah baiknya jika jeritan Allahu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?

|| Alhamdulillah ||

Sumber: Artikel dari Ustaz Pahrol Muhammad Juoi. Sila klik di sini untuk pautan berkaitan. (Terima kasih Ma’azatul Adawiyah atas kiriman emelnya :-) )


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.