|| thousandwords ||

09/03/2009

Obama Rai Tokoh Muslim

Filed under: Barrack Obama, Berita — pida @ 9:30 pm
Tags:

Ucapan Presiden AS puji keberkatan Islam, Ramadan

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, kelmarin berkata agama Islam sudah menjadi sebahagian cara hidup di Amerika, ketika beliau meraikan tokoh Muslim tempatan pada majlis berbuka puasa di Rumah Putih.

“Bagi lebih satu bilion penduduk Islam, Ramadan adalah masa menunjukkan ketaatan penuh dan membuat muhasabah diri,” kata Obama dalam ucapan mengalu-alukan tetamunya di Bilik Makan Malam Negara.

“Islam yang kita tahu adalah sebahagian Amerika. Seperti masyarakat Amerika yang lain, masyarakat Islam Amerika adalah kelompok yang amat dinamis dan pelbagai.”

“Dalam majlis ini, kita menyambut bulan suci Ramadan dan kita juga meraikan bahawa umat Islam menambah kekayaan Amerika dan budayanya sama ada secara kecil atau besar,” kata presiden itu.

Antara tetamu yang dipuji Obama ialah Bilqis Abdul-Qaadir, pelajar tahun pertama di Universiti Memphis sebagai pemain bola keranjang ketika di sekolah menengah muncul sebagai penjaring terbanyak – sama ada di kalangan lelaki atau perempuan – dalam sejarah bola keranjang sekolah menengah di Massachusetts.

“Bilqis baru-baru ini memberitahu seorang wartawan, bahawa beliau mahu menjadi inspirasi kepada golongan muda Islam perempuan yang mahu bermain bola keranjang. Segala-galanya tidak mustahil, mereka boleh melakukannya,” kata Obama yang cintakan sukan itu.

“Bilqis adalah satu inspirasi bukan hanya kepada pelajar wanita Islam, beliau adalah inspirasi kepada kita semua,” kata Obama lagi.

Presiden juga mengiktiraf dua wakil Islam pertama dalam Kongres Amerika, Keith Ellison dan Andre Carson.

Dalam satu mesej menandakan sambutan Ramadan minggu lalu, Obama memberi jaminan membuat ‘tindakan konkrit’ dalam usahanya untuk memperbaharui hubungan dengan negara Islam, kurang tiga bulan selepas ucapan bersejarahnya kepada dunia Islam di Kaherah.

“Saya mahu mengulangi komitmen saya terhadap satu permulaan baru di antara Amerika dan umat Islam di seluruh dunia,” kata Obama dalam satu ucapan video yang dihantar ketika 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia bersiap sedia menyambut bulan suci itu.

Obama yang berasal dari warisan Islam di sebelah bapanya, turut memberi jaminan sokongan “tidak berbelah bagi” bagi penyelesaian konflik Palestin-Israel dan “tanggungjawab bagi menamatkan perang di Iraq.”

Sumber: Berita Harian

06/13/2009

Barrack Obama Dan Dunia Islam

Filed under: Barrack Obama — pida @ 10:53 am
Tags:

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama baru-baru ini mendapat banyak pujian kerana ucapannya mengenai dunia Islam.

Ucapan yang dibuat oleh Obama di Kaherah, Mesir pada minggu lalu itu turut mendapat reaksi positif di kalangan pemimpin dan golongan intelektual.

Ketika berucap di Kaherah, Obama cuba mengikis tanggapan buruk terhadap Islam yang kerap dikaitkan dengan keganasan.

Ketika berucap di hadapan 4,000 orang, Obama menyatakan Amerika dan Islam berkongsi prinsip keadilan dan kemajuan, toleransi serta maruah manusia.

Obama berkata: “Saya bersimpati tetapi sehingga negara-negara Islam boleh bertoleransi berhubung kewujudan kitab Injil atau pemakaian lambang salib oleh seorang paderi tentera dalam sempadan mereka, kita tidak berkongsi prinsip yang sama itu.”

Ada pihak berpendapat George W. Bush yang melancarkan perang ke atas Iraq tidak akan berucap dengan nada serupa seperti Obama.

Sebelum ini ketika AS diperintah oleh Bush selama dua penggal, penduduk Islam di seluruh dunia berasa terhina apabila agama mereka dikaitkan dengan keganasan.

Cara penganut Islam diperiksa di lapangan terbang di Barat dan AS turut mengaibkan mereka selain dipandang serong selepas serangan pengganas 11 September 2001 di New York, AS.

Namun, apakah yang menyebabkan Obama boleh membuat ucapan sedemikian rupa?

Latar belakang hidup Obama dan Bush sebenarnya jauh berbeza.

Obama pernah hidup di Indonesia iaitu sebuah negara yang mempunyai ramai penduduk Islam di dunia.

Presiden AS itu turut mempunyai saudara-maranya yang beragama Islam di Afrika.

Justeru Obama yang dilayan baik ketika beliau hidup di Indonesia yang menjadi lokasi serangan pengganas pada 2002 di Bali lebih banyak mengetahui mengenai Islam berbanding Bush.

Buat masa ini, Presiden AS itu menjadi kebanggaan sebahagian penganut Islam kerana usahanya yang mahu membaiki hubungan AS dengan dunia Islam.

Pastinya, pengalaman hidup Obama di Indonesia menyebabkan beliau berani menongkah arus Bush yang popular kerana dasar luarnya mencetuskan banyak kontroversi terutamanya melibatkan dunia Islam.

Harapan: JANGAN HANGAT-HANGAT TAIK AYAM JAK =P

Sekian. WaLLahu ‘aLam

nota kaki: dalam ucapan tersebut, Obama sempat memuji negara Malaysia sebagai negara Islam yang membangun secara aman. Peace No War! =)

Blog at WordPress.com.