|| thousandwords ||

12/24/2009

Ulama sokong larangan pakai niqab

Filed under: Berita, Mesir, Universiti al Azhar — pida @ 12:14 pm
Tags:

KAHERAH: Tiga pemimpin kanan Islam Mesir secara terbuka menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan melarang wanita Muslim memakai niqab atau penutup muka di bilik asrama dan dewan peperiksaan sambil menegaskan kewajipan memakai niqab tiada dalam Islam.

Oktober lalu, ketua Universiti al-Azhar, Sheikh Mohamed Sayed Tantawi, mengeluarkan arahan melarang pemakaian niqab di asrama dan bilik kuliah khusus untuk wanita. Kementerian Pengajian Tinggi turut menguatkuasakan larangan memakai niqab dalam peperiksaan di universiti.

“Al-Azhar tidak menentang pemakaian niqab tetapi melarang penyalahgunaannya,” kata akhbar harian al-Akhbar yang memetik kenyataan Tantawi dalam satu forum kelmarin.

Beliau berkata pemakaian niqab hanya satu kebiasaan yang tidak mempunyai asas dalam undang-undang Islam.

Awal minggu ini, Tantawi bersama Mufti Negara Ali Gomaa dan Menteri Agama Hamdy Zakzouk, mengeluarkan kenyataan menyokong larangan pemakaian niqab di bilik asrama dan dewan peperiksaan.

Kerajaan Mesir sejak sekian lama mengambil sikap berhati-hati terhadap aliran pemikiran Islam di negara itu dan pada 1999, ia mengambil tindakan keras memusnahkan cubaan menubuhkan negara Islam.

Forum dianjurkan selepas mahkamah Kaherah memutuskan tiada badan pentadbiran atau agensi lain boleh mengharamkan pemakaian niqab.

Menteri Pengajian Tinggi, Hani Hilal, awal minggu ini berkata beliau khuatir kemungkinan pihak tertentu menggunakan niqab untuk menyembunyikan jenayah, termasuk gadis yang mengambil peperiksaan.

Bagaimanapun, banyak pihak tidak bersetuju dan kurang puas hati dengan kenyataan itu.

Anggota Ikhwanul Muslimin dan ahli parlimen, Al-Said Abdel Maksoud Askar berkata Hani memberi alasan tidak munasabah berikutan larangan itu.

“Mengenal pasti identiti seseorang adalah amat mudah,” katanya.

Anggota Pusat Penyelidikan Islam Al-Azhar, Sheikh Mahmoud Ashour berkata setiap wanita bebas memakai niqab asalkan mereka patuh apabila diarah menunjukkan muka.

Bilangan wanita memakai niqab semakin meningkat. Ramai antara mereka membantah dan menyifatkan larangan itu sebagai diskriminasi di kampus. – Reuters

Sumber: Berita Harian

12/22/2009

Konvoi ‘Viva Palestina’

Filed under: Berita — pida @ 3:42 pm
Tags:

6 lagi warga Malaysia sertai konvoi Viva Palestina

DAMSYIK: Dua lagi anggota Malaysian Perdana Global Peace Organisation (PGPO) dan empat kakitangan Bernama TV hari ini menyertai Konvoi Viva Palestina yang sedang meneruskan perjalanannya sejauh 3,200 kilometer ke Gaza bagi mengagihkan bantuan kemanusiaan.

Anggota PGPO itu ialah Mathias Chang dan Shamsul Akmar Musa Kamal, manakala kakitangan Bernama TV pula terdiri daripada wartawan Kuzaimah Idris, penolong penerbit Azmawati Azmi, penyampai berita Masrenny Waty Che Masri dan jurukamera Mohd Shafiee Abdullah.

Mereka tiba dari Kuala Lumpur pada 18 Disember bagi menyertai fasa terakhir pengembaraan konvoi berkenaan dari sini yang mengandungi 144 trak, van dan ambulans dengan membawa bekalan bantuan bernilai lebih AS$1 juta.

Sebelum ini, dua anggota PGPO, Juana Jaafar dan Ram Karthigasu, menyertai konvoi itu yang memulakan perjalanannya di London pada 6 Disember dan telah melalui beberapa pekan dan bandar di pelbagai negara.

PGPO adalah antara peserta dari berpuluh institusi dan pertubuhan yang menyertai konvoi itu bagi mempamerkan sokongan mereka terhadap rakyat Palestin serta menolak pencerobohan Israel di Gaza.

Konvoi dianggotai 416 sukarelawan itu akan meredah perjalanan selama enam hari dari sini ke Amman dan Aqabah di Jordan serta Nuweiba hingga ke sempadan Rafa di Mesir.

Ketua logistik konvoi berkenaan, Amer Nazir memberitahu Bernama bahawa antara bekalan bantuan yang dibawa untuk diagihkan kepada penduduk Palestin ialah peralatan perubatan, makanan, makanan bayi serta pakaian musim sejuk.

Katanya, rakyat Palestin di Gaza menghadapi kekurangan bekalan air bersih, makanan segar dan ubat-ubatan.

“Untuk bantuan perubatan, kami bawa pelbagai bekalan, daripada picagari, mesin dialisis, mesin pemindahan jantung, kerusi roda, tongkat dan kain pembalut, pendek kata daripada sekecil-kecil barang hinggalah kepada mesin paling besar, ada bersama kami,” katanya.

Konvoi berkenaan dianggotai sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Amerika, United Kingdom (UK), Perancis, Belgium, Itali, Turki, New Zealand dan Australia, dengan latar belakang kehidupan yang berbeza semata-mata untuk melakukan kerja amal.

“Ada antara mereka yang meninggalkan kerja untuk datang ke sini, ada antara mereka yang tergolong sebagai profesional yang melihat inilah satu-satunya cara bagi mereka untuk menzahirkan perasaan masing-masing tentang isu berkenaan, ada antara mereka hanya orang biasa, pemandu teksi yang sanggup meninggalkan keluarga untuk ke Gaza,” katanya.

Amer berkata, konvoi itu mendapat sokongan hebat daripada segi sumbangan barangan dan banyak sukarelawan yang berminat menyertainya.

Viva Palestina, sebuah badan amal berpejabat di Britain, menganjurkan misi itu bagi mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang terperangkap dalam peperangan di Gaza.

Warga Britain, Slyvia Wall, 70, sanggup datang dari England ke Damsyik semata-mata bagi menyertai konvoi itu, yang dalam perjalanan peringkat akhirnya ke Gaza.

Wanita ini tidak berpeluang menyertai konvoi berkenaan dari London kerana tidak berdaya meredah perjalanan sejauh 4,800km ke Syria kerana faktor usia dan keadaan fizikal yang tidak mengizinkannya berbuat demikian.

Wall kelihatan begitu bersemangat untuk mempamerkan sokongannya kepada rakyat Palestin serta menceritakan pengalaman dan perjuangannya bagi membela nasib golongan itu.

Wanita ini melahirkan harapan agar kewujudan konvoi antarabangsa itu akan memberi isyarat jelas bahawa masyarakat dunia mahu rejim Israel menarik balik sekatan yang dikenakannya terhadap penduduk Gaza dengan dunia luar.

Gaza dikepung sejak 2007 hingga menyebabkan rakyat Palestin di situ terputus bekalan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan pelbagai keperluan asas lain.

“Sepanjang ingatan saya, rakyat Palestin telah diperlakukan secara tidak adil, kini saya sudah berusia 70 tahun dan selama 60 tahun, rakyat Palestin telah dilayan dengan teruk, tiada kata-kata yang dapat menggambarkannya, saya amat marah.

“Saya ada ramai kawan Palestin di England, di Cyprus. Mereka orang baik, bukan seperti yang digambarkan oleh Barat sebagai pengganas dan di England keadaannya amat buruk, setiap kali mereka menyebut perkataan Palestin, ia selalunya diikuti dengan perkataan pengganas, sedangkan hakikatnya bukan begitu,” katanya.

Wall telah mengabdikan seluruh usia mudanya dalam perjuangan membela nasib rakyat Palestin.

Sejurus berakhirnya peperangan di Gaza, beliau ke Greece bagi membantu seorang budak lelaki Palestin berusia 14 tahun menjalani kehidupan hariannya setelah kehilangan kaki semasa perang itu.

“Saya akan ke Jordan dan Mesir melalui gurun pasir Nil di sepanjang kawasan pantai, jalan pesisir pantai sejauh 40 km ke Rafah dan harap-harap, InsyaAllah kami akan sampai ke Gaza,” katanya.

Setiap peserta konvoi ini menggunakan pembiayaan sendiri.

Pada 27 Disember tahun lalu, Israel memulakan serangan udara terhadap Semenanjung Gaza dengan tujuan menghalang serangan roket dan penyeludupan senjata ke wilayah itu.

Tentera Israel telah membunuh lebih 1,400 rakyat Palestin dalam tempoh tiga minggu serangan itu dan mengakibatkan kemusnahan teruk terhadap kemudahan asas mereka seperti rumah, sekolah, hospital dan stesen tenaga elektrik.

Sejak itu, Israel menghalang semua bentuk barangan daripada dibawa masuk ke Gaza, kecuali bantuan kemanusiaan. – Bernama

Sumber: Berita Harian

12/18/2009

Mesir bina penghadang bawah tanah sempadan Gaza

Filed under: Berita, Mesir — pida @ 7:55 pm
Tags:

KAHERAH: Sebuah akhbar harian milik kerajaan Mesir, semalam mengesahkan negara itu membina penghadang bawah tanah di sempadannya dengan Gaza dan bertegas tindakan itu adalah haknya sebagai sebuah negara berdaulat.

Akhbar Al-Gomhuria melaporkan pada muka hadapannya, bahawa penghadang yang dibina itu sama dengan yang ada sekarang, tetapi ditambah dengan cerucuk bawah tanah.

“Mesir berhak membina penghadang di sempadan Gaza untuk melindungi kedaulatannya. Negara ini juga berhak membina tembok yang kuat dan tidak akan runtuh,” lapor akhbar itu.

Laporan akhbar itu adalah sumber maklumat terbaru dan paling dipercayai yang memberi isyarat bahawa Mesir semakin hampir membuat kenyataan rasmi mengesahkan pembinaan penghadang bawah tanah itu bagi menghalang penyeludupan ke Gaza melalui terowong bawah tanah.

Sumber keselamatan yang tidak didedahkan sebelum ini mengesahkan laporan saksi mengenai pembinaan itu.

Media bebas Mesir berulang kali mengecam tindakan kerajaan membina sekatan terbabit kerana ia semakin menyulitkan kehidupan penduduk Gaza yang bergantung kepada terowong untuk semua keperluan.

Bagaimanapun Al-Gomhuria berpendapat sebaliknya.

“Ada sesetengah pihak cuba menggambarkan Mesir turut memainkan peranan menyekat penduduk Palestin dengan menghalang laluan penyeludupan senjata, tetapi perbuatan menyeludup senjata melalui Sinai adalah serangan langsung kepada kedaulatan Mesir,” kata akhbar itu.

Ia menyalahkan pergerakan Hamas yang menguasai Gaza pada 2007 kerana memburukkan lagi keadaan hidup penduduk di wilayah itu dan berkata pergerakan itu patut menandatangani perjanjian damai dengan kumpulan Fatah pimpinan presiden Mahmud Abbas. – AFP

Sumber : Berita Harian

12/16/2009

Muhadharah bersama Dr Yusof Al-Qadrawi di Putrajaya

Filed under: Berita, Islam — pida @ 6:11 pm
Tags:

KUALA LUMPUR: Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia Al-Allamah Profesor Dr Yusof Al-Qadrawi akan menghadiri Majlis Muhadharah Perdana 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Sabtu ini.

Majlis itu, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertujuan meningkatkan kesatuan fikrah dan perpaduan masyarakat Islam di Malaysia serta menjana pemikiran umat Islam yang dinamik dan progresif.

Menurut kenyataan Jakim, muhadharah bersama Dr Yusof, julung kali dianjurkan jabatan itu dan penyertaan percuma untuk orang ramai.

Jakim boleh dihubungi di talian 03-88864178/4172. – Bernama

Sumber: myMetro

Next Page »

Blog at WordPress.com.