|| thousandwords ||

09/02/2008

Lelaki Nigeria cerai 82 isteri

Filed under: Macam-Macam — pida @ 3:02 am
Tags: , ,

ABUJA: Seorang pemimpin agama Nigeria mempunyai 86 isteri akhirnya akur perintah pihak berkuasa supaya menceraikan 82 daripada pasangannya itu dan cuma kekal dengan empat isteri seperti yang dibenarkan agama Islam.

Jurucakap kepada emir wilayah Bida memberitahu Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), Mohammadu Bello Abubakar, 84, bersetuju dengan arahan itu, Sabtu lalu.

Minggu lalu, badan Islam berpengaruh Nigeria, Jamatu Nasril Islam, menjatuhkan hukuman mati ke atas Abubakar tetapi menarik balik keputusannya tetapi mengancam mengusirnya dari rumah.

Terdahulu, Abubakar mencabar sarjana Islam dan berkata tiada hukuman tercatat dalam al-Quran ke atas lelaki memiliki lebih empat isteri.

“Saya tidak melanggar hukuman yang membolehkan saya dihalau. Tiada undang-undang yang menyatakan seseorang lelaki itu tidak boleh berkahwin lebih dari empat.

“Semua isteri saya mempunyai anak dan kami sudah menetap di sini lebih 30 tahun. Bagaimana mereka boleh jangka saya akan meninggalkan rumah dalam masa dua hari,” kata Abubakar kepada akhbar tempatan. � Agensi

04/28/2008

Paderi Bunuh Diri Islam Berjaya

Filed under: Macam-Macam — pida @ 5:08 pm
Tags: , ,
BERLIN: Seorang paderi yang sudah bersara bertindak membunuh diri di sebuah biara di Jerman pada Selasa lalu kerana terlalu kecewa dengan kegagalan pemimpin Gereja Protestan membendung kebangkitan Islam di negara itu.
Roland Weisselberg, 73, menyimbah petrol ke tubuhnya dan membakar diri di kawasan biara Augustine di bandar raya Erfurt.

Saksi berkata, Weisselberg memanjat bangunan bersebelahan gereja biara itu dan menjerit ‘Jesus dan Oskar’ sebelum api menyambar dirinya.

Perkataan Oskar merujuk kepada Oskar Brüsewitz, paderi yang membakar diri pada 1976 sebagai bantahan terhadap pemerintahan rejim Komunis di Jerman Timur.

Kakitangan biara cuba memadamkan api dan Weisselberg masih sedar ketika dibawa ke hospital. Dia meninggal dunia sehari kemudian.

Laporan media menyebut, paderi itu cuba membunuh diri di dalam gereja tetapi mengubah fikiran selepas mendapati pintu terkunci.

Datuk Bandar Erfurt, Elfriede Begrich, memberitahu wartawan bahawa balu Weisselberg berkata, suaminya membunuh diri kerana terganggu dengan kebangkitan Islam dan pendirian gereja berhubung isu itu. Weisselberg bersara sebagai paderi pada 1989 kerana tidak sihat. – Agensi

Ketua Paderi Protestant Saxony, Axel Noack, berkata insiden itu mengejutkan masyarakat setempat tetapi berharap ia tidak menjejaskan hubungan baik antara penduduk Kristian dan orang Islam.

“Kami di Timur masih di tidak sepakat apabila kami membincangkan mengenai Islam,” kata Noack.

Hubungan dengan penduduk Islam menjadi isu perbahasan hangat di Jerman sejak beberapa bulan ini, yang dicetuskan pembatalan opera Mozart di Berlin kerana mempunyai adegan membayangkan kepala Nabi Muhammad yang dipenggal berikutan bimbang ia menimbulkan kemarahan umat Islam. — Agensi

03/05/2008

Pelajar akui buang al-Quran

Filed under: Macam-Macam — pida @ 3:18 pm
Tags: ,

NEW YORK: Seorang bekas pelajar universiti yang dua kali membuang naskhah al-Quran di tandas institusi itu selepas bertengkar dengan pelajar Islam mengaku bersalah kelmarin di sini atas dakwaan melakukan kekacauan dalam kaitan dengan insiden itu.

Stanislav Shmulevich, 24, mengaku bersalah dan perlu melakukan khidmat masyarakat selama 300 jam. Dia sudah menghabiskan kira-kira 80 jam khidmat masyarakat di sebuah hospital, kata peguamnya.

Shmulevich, dari Brooklyn, New York, mengaku dia melemparkan buku suci itu ke dalam tandas di Pace University pada 13 Oktober 2006 dan 21 November 2006. Satu aduan jenayah mengatakan naskhah Al-Quran yang ditemui dalam insiden Oktober itu “dipenuhi najis manusia.”
Dalam kedua kes, seorang guru menjumpai naskhah itu dalam tandas lelaki di tingkat dua bangunan institusi itu di pinggir Manhattan.

Detektif Faisal Khan, yang menyediakan aduan itu, berkata, Shmulevich memberitahunya “dia melakukan tindakan itu kerana marah dengan sekumpulan pelajar Islam.”

Shmulevich, pelajar aliran perniagaan yang berasal dari bekas Soviet Union, pada awalnya didakwa dua tuduhan melakukan jenayah benci. Tuduhan itu jika disabitkan boleh dihukum sehingga penjara empat tahun. – AP

sumber || bharian ||

10/20/2007

Bayi bertali pusat maut dicampak dari pangsapuri

Filed under: Macam-Macam — pida @ 11:12 am
Tags: , ,

GEORGETOWN: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan meninggal dunia akibat cedera parah di anggota badan, dipercayai dicampak dari sebuah pangsapuri Desa Mawar, Air Itam di sini, semalam.

Bayi itu yang masih bertali pusat, dimasukkan ke dalam plastik sampah berwarna hitam sebelum dicampak dan terjatuh di atas lantai simen gelanggang bola keranjang di pangsapuri berkenaan.

Mayat bayi itu yang ada kesan darah di kaki dan lebam di seluruh badan, ditemui oleh seorang penduduk di pangsapuri berkenaan, kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Abu Samah Mat, berkata laporan bedah siasat oleh Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang menunjukkan bayi itu mati akibat cedera parah di seluruh anggota badan.

Katanya, laporan berkenaan menunjukkan beberapa tulang anggota badan bayi berkenaan patah dan siasatan awal mendapati mangsa dicampak dari tempat yang tinggi.

“Berikutan itu, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1 petang mengenai penemuan mayat bayi berkenaan.

Siasatan polis mendapati bayi berkenaan baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui. Bagaimanapun, sehingga kini polis belum dapat mengenal pasti keturunan bayi berkenaan.

Abu Samah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya tampil membantu siasatan.

Sementara itu, R Vijayananthini, 21, yang menemui mayat bayi berkenaan, berkata dia dalam perjalanan ke rumah ibu saudaranya sebelum ternampak plastik hitam dengan sebelah kaki bayi terjulur keluar.

Dia yang menyangkakan kaki yang terjulur itu adalah kaki anak patung, membuka plastik berkenaan dan mendapati mayat bayi yang masih bertali pusat serta mempunyai kesan darah.

Vijayananthini, yang terkejut bercampur takut, memanggil abangnya dengan memberitahu perkara itu sebelum menghubungi polis.

“Ini satu perbuatan yang tidak berperikemanusian kerana sanggup membuang anak tanpa rasa kasihan,” katanya.

|| sumber Bharian ||

Blog at WordPress.com.