No Hope – No Agenda

Sunnah Rasulullah SAW

Manisnya Sabar Itu

|| Bismillah ||

Assalamualaikum semua pembaca budiman. Semoga kalian diberi kesihatan dan kesejahteraan sepanjang nafas masih bersatu dengan jasad. Semoga mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah SWT, Tuhan semesta alam. Insya Allah..

Sudah lama blog saya yang satu ini tidak ber-update. Kesibukan dua tiga minggu ini membataskan saya untuk melayari blog saya yang sudah berusia baru 3 tahun ini. Semenjak tahun 2005, minat terhadap penulisan (blogging) sudah ada dalam kamus hidup saya (yang ketika itu masih sibuk belajar di Kolej Insaniah) huhu. Saya pernah mempunyai blog Friendster, kemudian Blogspot dan kemudian WordPress. Dan pada tahun lalu, saya mula aktif menulis di Blog.ca

Apabila anda minat menulis, maka anda akan merasai kepuasan dalam bidang itu apabila anda membina blog sendiri. Pedulikanlah jika blog anda tidak sepopular dan semasyhur seperti blog-blog yang lain. Kerana minat anda tidak mengira akan kepopularitian tersebut. Anda hanya perlu berkongsi pengalaman, ilmu dan kisah tauladan maka anda akan berasa sangat berbaloi untuk blogging. Niat anda juga sangat penting. Adakah anda membuka akaun blog hanya untuk popular atau menyampaikan ilmu berguna? Ataukah hanya ‘menjual diri’?? Anda mempunyai pilihan untuk itu. Itu cuma pendapat saya sebagai penulis blog yang tegar tapi sangat tidak popular, hehe!

Baiklah kawan-kawan, sebenarnya kali ini saya cuma ingin berkongsi sedikit pengalaman manis saya ketika masih menuntut di negara orang satu ketika dulu. Bermula tangisan di lapangan terbang membawa kesedihan bersisa di Kota Kinabalu dan sekitarnya :-) maka saya selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah (2006). Niat saya sudah simpan kemas dalam hati untuk menuntut ilmu dan berjaya setahun kemudian. Namun kita hanya merancang dan berusaha, segala perkara adalah ketentuan dari Allah SWT. Saya melalui satu perkara yang amat menyedihkan iaitu saya tidak layak ke tahun 4 pada tahun itu. Saya memulakan pengajian saya di Universiti Al Azhar dengan permulaan tahun 3. Namun yakinlah, Allah SWT sebenarnya telah memberikan yang terbaik buat hamba-hamba NYA. Turun ke tahun 3 adalah satu ujian bagi saya tapi anggaplah ianya ujian yang sangat menyenangkan. Kerana apabila niat untuk berjuang kerana ilmu Allah, maka tidak ada sedikitpun rasa putus asa dan keluhan. Walaupun kadang-kadang pernah juga mengeluh namun harus tahu bahawa Allah sedang memandang kita penuh rasa kasih sayang. Kesabaran yang tinggi adalah pengubat jiwa. Bersabar itu sangat indah jika anda menghayati bahawa tiap ujian itu adalah ‘panggilan’ Allah untuk anda lebih mendekati-NYA.

Rasulullah SAW telah menyatakan sikap sabar itu adalah satu sikap yang sangat penting dalam menelusuri kehidupan dan kita sebagai pengikut Baginda wajar mengaplikasikan sikap bersabar itu dalam segenap bidang yang diceburi. Sebenarnya apa saja masalah hidup yang menimpa manusia adalah kaedah Allah untuk menguji iman hamba-Nya sama ada tebal atau nipis iman itu.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 200 yang bermaksud, “Wahai orang- orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwa kepada Allah”.

Sikap sabar itu dinyatakan dalam kitab suci Al Quran berulang-ulang agar kita tidak cepat putus dalam apa jua ujian dan tidak cepat putus asa dalam meminta pertolongan dari Allah SWT. Dalam konteks menuntut ilmu, sikap inilah yang sebenar-benar perlu ada dalam setiap diri kita. Ketika berjauhan dari keluarga tercinta dan ditambah lagi dengan pelbagai cabaran ketika berada di negara orang atau ditambah lagi dengan karenah kawan-kawan yang mungkin tidak sebulu dengan kita, semua ini menuntut kesabaran yang tinggi dalam diri. Tidak pernah ada sesuatu di dunia ini yang sangat sempurna! Apabila anda sedang berjuang, tidak sempurna perjuangan itu tanpa ujian. Inilah yang menentukan sama ada kita berjuang menuntut ilmu kerana Allah SWT atau sekadar menyimpan impian untuk berjaya satu ketika nanti untuk mendapat pangkat dan gaji yang tinggi.

Mungkin saya hanya menyatakan satu skop saja pada entri kali ini (iaitu ujian dalam menuntut ilmu) padahal sebenarnya banyak lagi skop atau contoh yang lain jika dikirakan dalam pengalaman saya. Ingin berkongsi satu skop lagi, kebanyakan manusia ketika lapangnya atau dalam keadaan masa senangnya mungkin lalai dari mengingati Allah. Solat wajib 5 waktu tidak pernah ataupun mungkin kadang-kadang saja ditunaikan. Seperti tidak menuruti atau melaksanakan apa yang diperintahkan dan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Namun sebaliknya apabila ditimpa musibah, contohnya penyakit ataupun kesusahan yang tidak tertanggung maka ketika itulah baru teringat akan suruhan dan larangan Allah SWT dan mulai melaksanakannya. Padahal sebelum ini hikmah di sebalik perintah dan larangan Allah SWT tidak pernah direnungi. Selepas itu barulah sikap-sikap anjuran dari Rasulullah SAW akan dihayati dan dituruti. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan hamba yang sentiasa mengingati Allah SWT dan mengikut ajaran Rasulullah SAW dan sentiasa mengamalkan sikap sabar dalam kehidupan yang penuh dugaan dan cabaran ini.

Firman Allah dalam surah Az Zumar ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab”.

Semoga apa yang saya kongsikan kali ini dapat membimbing saya dan seterusnya tetap merasakan kesabaran itu tetap indah walaupun susah untuk menghadapinya kadang-kadang :-) Pernah ketika masih menuntut ilmu di Mesir dulu, ujian yang paling mencabar adalah apabila saya tidak dapat memahami barisan ayat-ayat dalam kitab dan saya merasakan sayalah manusia paling lemah ketika itu. Meminta tunjuk ajar dari kawan-kawan yang lebih bijak, membuat study group (muzakarah), membaca berulang-ulang kali, membuat nota dan merujuk kamus bahasa arab-melayu-inggeris seberat 2 kilo agaknya (kamus terlalu tebal dan berat). Apabila sudah memahami barisan ayat tersebut dan kepuasan di dalam diri sangat dirasai kerana anda berusaha untuk menyelesaikannya dengan kesabaran. Menuntut ilmu walau di mana-mana anda berada mungkin mempunyai cabaran dan dugaan masing-masing dan ianya hampir sama saja dalam menghadapinya. Ujian yang paling ketara adalah apabila anda membuka kitab saja, mata anda mulai mengantuk! :D

Baiklah kawan-kawan, saya memohon maaf andai ada salah dan silap dalam entri saya kali ini. Mohon teguran yang membina dari anda semua. Semoga kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT selalu. Akhirnya, kualiti kesabaran kita di uji sepanjang kita meraih tujuan dan kejayaan dalam hidup. Apakah kita berjaya dalam keadaan yang diredhai oleh Allah atau sebaliknya. Peliharalah diri kita dari noda-noda yang dibenci oleh Allah SWT. Sabar dan ikhlaslah dalam berjuang menuntut ilmu, insya Allah diberkati. Amin ya Rabb!

Kata Nabi Yusof a.s, “Sabar itu indah dan kepada Allahlah tempat memohon pertolongan.”

Sekian saja untuk kali ini. Jazakumullahu Khairan Kathiraa :-)

|| Alhamdulillah ||


Diam Itu Lebih Baik

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Mutafaq ‘alaih)

Daripada Muaz bin Jabal r.a, berkata : ” Khabarkan kepadaku suatu amalan yang membolehkan aku masuk ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka. ”

Jawab Nabi SAW : “Sebenarnya engkau telah bertanya suatu pekara yang besar, dan sesungguhnya amat mudah sekali bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah Ta’ala, iaitu Hendaklah engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan suatu yang lain. Engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa sebulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah.”

Kemudian Nabi bersabda lagi : “Mahukah engkau aku khabarkan pokok amalan, tiangnya dan kemuncaknya?” Aku menjawab : “Mahu, ya Rasulullah”

Sabda baginda : “Pokok amalan ialah Islam, tiangnya ialah sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad”

Kemudian Nabi bersabda lagi : “Mahukah engkau aku khabarkan kunci kepada semua perkara ini ?” Aku menjawab : ” Mahu, ya Rasulullah. “Lalu baginda memegang lidahnya seraya berkata : “Awas, jaga ini baik-baik.” Aku bertanya : ” Ya Rasulullah, adakah kami akan dituntut kerana berkata dengannya ?” Baginda lalu menjawab : “Dan tidak akan dicampakkan manusia ke atas muka mereka atau batang hidung mereka ke dalam neraka, melainkan hasil tutur bicara mereka. ” (Riwayat Tirmizi)


Tak Nak!

tak nak!Ketika balik dari kuliah petang kelmarin, saya sempat singgah di Markaz DPMI kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Selesai bersolat (solat dahulu kerana AJKT bertugas tiada untuk melayan urusan kami) saya sempat mencapai sebuah buku “Katakan Tak Nak! Pada Rokok”. Saya berminat untuk membaca buku tersebut sementara menunggu urusan selesai. Buku tersebut membicarakan hukum merokok. Semuanya dibahaskan dalam buku tersebut. Namun saya tidak sempat membacanya sehingga habis. Lagi pula, saya terlupa membawa duit lebih pada paginya kerana kelam-kabut ke kuliah. Kitab tersebut saya pinjam sekejap untuk dibaca dari rak buku-buku untuk dijual di Markaz tersebut. Antara yang ingin saya kongsikan di sini ialah dari dalam Kitab Bughiyyatul Mutarsyidin disebutkan sebuah hadis yang bermaksud:

Telah bersabda Rasulullah SAW :

“Wahai Abu Hurairah, akan datang beberapa kaum di akhir zaman yang mengekalkan menghisap rokok (pohon tembakau) dan mereka berkata: Kami sekalian termasuk sebahagian daripada umat Nabi Muhammad SAW. Dan padahal mereka bukanlah termasuk daripada umat, tetapi mereka itu merupakan sebahagian umat yang liar. Berkata Abu Hurairah: “Aku bertanya kepada Nabi SAW dari apakah tumbuhnya?”. Nabi SAW menjawab, “Sesungguhnya tembakau itu tumbuh dari kencing syaitan”. Apakah tetap iman seseorang yang menghisap kencing syaitan? Maka di laknat orang yang menanamnya, yang memindahnya dan yang menjual belikannya. Telah bersabda Nabi SAW sesungguhnya Allah SWT akan memasukkan mereka ke dalam api neraka. Bahawasanya pohon tembakau itu pohon yang keji.

Wallahu ‘Alam


Sinar Cahaya Ayat Kursi

Dlm sebuah hadis, ada menyebut perihal seekor syaitan yg duduk di atas pintu rumah. Tugasnya ialah utk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan dihati isteri terhadap kejujuran suami diluar rumah.

Sebab itulah Rasulullah tidak akan masuk rumah sehinggalah Baginda mendengar jawaban salam daripada isterinya. Disaat itu syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu.

Hikmat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-hadis:

1) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dlm lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.

3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang,tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah disekitarnya.

4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap2 sembahyang fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yg bersyukur,setiap perbuatan orang yg benar,pahala nabi2 serta Allah melimpahkan padanya rahmat.

5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya – mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursiketika dalam kesempitan nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dari Abdullah bin ‘Amr r.a., Rasulullah S.A.W.bersabda, “Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat…”


Sebelum Tidur

(Tafsir Haqqi)
Rasulullah berpesan kepada Aisyah ra : Ya Aisyah jangan engkau tidur
sebelum melakukan empat perkara,iaitu :

1. Sebelum khatam Al Qur’an.

2. Sebelum membuat para nabi memberimu syafaat di hari akhir.

3. Sebelum para muslim meredhai kamu.

4. Sebelum kau laksanakan haji dan umrah….

“Bertanya Aisyah : “Ya Rasulullah.. .. Bagaimana aku dapat melaksanakan
empat perkara seketika?
“Rasul tersenyum dan bersabda : “Jika engkau tidur bacalah :

1. Al Ikhlas tiga kali seakan-akan kau mengkhatamkan Al Qur’an.

2. Membaca selawat untukKu dan para nabi sebelum aku,
maka kami semua akan memberi syafaat di hari kiamat.

3. Beristighfarlah untuk para muslimin maka mereka akan meredhai kamu.

4. Perbanyaklah bertasbih,bertahmid ,bertahlil, bertakbir maka
seakan-akan kamu telah melaksanakan
ibadah haji dan umrah”


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.