My Heart Is Still There (^_^)
|| Bismillah ||
Semalam sebelum tidur, tiba-tiba teringat beberapa perkara. Harus tau, aku sudah 22 hari di sini. Sisa-sisa bau Mesir masih lagi melekat di hidung, heh. Ape lak ‘bau’ kan? Macam tak sopan je, tapi i mean segalanya tentang Mesir masih segar di dalam ingatan, hati dan perasaan aku. Angan-angan sungguh aku untuk ke sana lagi. Bila agaknya ye? Huhu..
Masih teringat sekali ‘mantiqah kuliyyah’ — kawasan kuliyyah (universiti). Sangat rindu naik bas ke kuliyyah. Kadang-kadang naik teksi jugak. Sungguh rindu cakap separuh menjerit “Ala ganbi, lau-samah!” apabila hendak turun dari bas. Sungguh rindu memberi salam setiap kali masuk ke kedai-kedai runcit. Beri salam sebelum naik bas atau teksi. Beri salam kepada kaum muslimin dan muslimat di mana-mana. Sungguh INDAH budaya ini. Teringat setiap kali masuk waktu solat, berduyun-duyun kaum muslimin ke jami’ (masjid) untuk menunaikan solat berjemaah. Jika tidak cukup ruang, sanggup membentang tikar/sejadah sampai ke luar malah kadang-kadang di jalan raya untuk solat berjemaah.
Sudah menjadi kebiasaan aku (dan kami) menjaga wudhu ketika berada dalam waktu kesibukan. Sungguh mudah agama Islam itu. Tidak ada alasan sebenarnya untuk meninggalkan kewajiban solat ketika sesibuk mana pun kita. Apabila masuk waktu solat, selalunya tidak susah untuk mencari jami’ kerana rasanya di setiap mantiqah sakaniyyah (kawasan penempatan) mungkin ada 20 buah masjid malah lebih. Di Kaherah saja suda lebih 50 buah masjid. Azan akan bergema menyeru untuk bersolat dalam beberapa ‘seruan’. Sangat rindu itu! Bayangkanlah, ada 20 masjid dan mestilah setiap masjid ada mu’azzin. Betapa indahnya mendengar seruan azan yang tidak putus-putus untuk kita dengarnya. Di kawasan rumah sewa aku dulu, ada 5 buah masjid berdekatan. Kompom subuh pasti bangun kerana azan bergema dalam 5 suara mu’azzin yang berbeza Ada yang cepat, ada yang lambat sedikit dan setelah itu seruan iqamah juga pasti kedengaran silih berganti. Bila agaknya akan aku dengar itu lagi?
Bukan itu sahaja yang aku rindui, suasana bulan mulia Ramadhan juga selalu ditunggu-tunggu kami ketika di sana. Di Mesir, bulan Ramadhan adalah satu ‘perayaan’ yang ditunggu-tunggu dan akan diraikan sangat meriah. Rumah-rumah akan dihias dengan ‘color-light’ dan lampu serupa tanglung (tetapi bentuknya seperti kubah masjid dan sangat cantik ketika malam) Anda akan melihat suasana cantik ini terutama waktu malam. Dimana-mana ada cahaya yang berkelip-kelip Setiap kali Ramadhan juga, orang arab akan menjual manisan-manisan Ramadhan (yang dipanggil, ‘Yamish Ramadhan”) kerana manisan ini hanya dijual ketika bulan Ramadhan. Ada bermacam-macam jenis manisan, dan ada juga berupa kuih. Ada dua jenis kuih (Qatayif dan Khunafa) Selalunya, selepas solat tarawih kami akan singgah kedai manisan ini untuk membeli qatayif dan khunafa. Memang sedap. Dan selalunya, khunafa akan digoreng bersama pisang (resepi orang Malaysia di di sana hehe) sungguh di komersialkan Satu lagi budaya orang arab ketika di bulan Ramadhan, ketika terjumpa sesama mereka (atau kami, heh) atau ketika bermuamalah di kedai, menjadi kebiasaan akan melafazkan ‘RAMADHAN KAREEM’ kepada sesama kaum muslimin dan muslimat. Itu adalah lafaz pujian pada bulan mulia inilah. Kadang-kadang, kita boleh juga jawab lafaz itu dengan memuji Allah SWT dengan memuji ‘ALLAHU AKRAM!’ Sungguh rindu suasana ini. Huhu..
Teringat ketika bulan Ramadhan tahun lepas, masih dalam musim panas ketika itu. Kalau solat tarawih tu, paham-paham la kan.. Memang agak-agak panas dan imam pulak akan membaca surah dalam masa yang agak lama. Dugaan juga tapi Alhamdulillah, sebenarnya semua itu indah (tentang ini aku suda post entri di blog ini. sila klik kalau anda sedang rajin) Tetiba teringat juga, kebiasaan kami ketika di Mesir akan menunaikan puasa ganti (heh) ketika musim sejuk. Kenapa? Sebab, waktu siangnya agak pendek. Jam 5 pm (lebih) sudah masuk waktu maghrib. Waktu siang terasa amat singkat dan lagipun sangat sejuk. Kalau ke mana-mana tidak terasa haus sangat. Cooool jee..
Walaubagaimana pun wahai kawan-kawan, aku sudah ‘meninggalkan’ semua itu di sana. Apa yang aku tau, perkara-perkara yang baik selama aku hidup di Mesir dulu akan dikenang dan diteladani. Betul tak? Ada rezeki, pasti aku ke sana lagi. Pasti! Sekarang has started a new life la kononnye.. Hari ini suda hantar resume ke JHAEINS (apply keja ka kau Pida??? heh) Apa-apa pun, mohon doa kamu wahai kawan-kawan sekalian. Doa’in saya ya! Agar bisa cepat-cepat membalas jasa kedua mama dan abah. Itu harapan menggunung ketika ini. Terima kasih atas doa, sokongan dan dokongan anda semua! Aku hargainya. Dan tidak lupa buat sahabat yang baik MOHAMAD ZAINAL ABIDIN (Haikal Solomon ) Syukran jazilan. Jazakallahu khairan kathira. Anda sahabat yang baik, dan mohon doanya ya. Sekian untuk kali ini. See ya!
|| Alhamdulillah ||
nota-kaki : original entry from my other blog site “A Million Miles” (you can click here. ) — just wanna share with you buddies! thanx for visiting
need to know, not 22 days but most likely already be five months, but since this entry was impersonate so i did not change 22 days to five months. I have been here (Sabah, Malaysia) five months are probably. Thank you
Ulama sokong larangan pakai niqab
KAHERAH: Tiga pemimpin kanan Islam Mesir secara terbuka menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan melarang wanita Muslim memakai niqab atau penutup muka di bilik asrama dan dewan peperiksaan sambil menegaskan kewajipan memakai niqab tiada dalam Islam.
Oktober lalu, ketua Universiti al-Azhar, Sheikh Mohamed Sayed Tantawi, mengeluarkan arahan melarang pemakaian niqab di asrama dan bilik kuliah khusus untuk wanita. Kementerian Pengajian Tinggi turut menguatkuasakan larangan memakai niqab dalam peperiksaan di universiti.
“Al-Azhar tidak menentang pemakaian niqab tetapi melarang penyalahgunaannya,” kata akhbar harian al-Akhbar yang memetik kenyataan Tantawi dalam satu forum kelmarin.
Awal minggu ini, Tantawi bersama Mufti Negara Ali Gomaa dan Menteri Agama Hamdy Zakzouk, mengeluarkan kenyataan menyokong larangan pemakaian niqab di bilik asrama dan dewan peperiksaan.
Kerajaan Mesir sejak sekian lama mengambil sikap berhati-hati terhadap aliran pemikiran Islam di negara itu dan pada 1999, ia mengambil tindakan keras memusnahkan cubaan menubuhkan negara Islam.
Forum dianjurkan selepas mahkamah Kaherah memutuskan tiada badan pentadbiran atau agensi lain boleh mengharamkan pemakaian niqab.
Menteri Pengajian Tinggi, Hani Hilal, awal minggu ini berkata beliau khuatir kemungkinan pihak tertentu menggunakan niqab untuk menyembunyikan jenayah, termasuk gadis yang mengambil peperiksaan.
Bagaimanapun, banyak pihak tidak bersetuju dan kurang puas hati dengan kenyataan itu.
Anggota Ikhwanul Muslimin dan ahli parlimen, Al-Said Abdel Maksoud Askar berkata Hani memberi alasan tidak munasabah berikutan larangan itu.
“Mengenal pasti identiti seseorang adalah amat mudah,” katanya.
Anggota Pusat Penyelidikan Islam Al-Azhar, Sheikh Mahmoud Ashour berkata setiap wanita bebas memakai niqab asalkan mereka patuh apabila diarah menunjukkan muka.
Bilangan wanita memakai niqab semakin meningkat. Ramai antara mereka membantah dan menyifatkan larangan itu sebagai diskriminasi di kampus. – Reuters
Sumber: Berita Harian
Salam Aidilfitri
Assalamualaikum buat Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah SWT selalu. Semakin berakhirnya bulan penuh berkat Ramadhan ini :’( Bulan yang begitu “suruur” bagiku. 1000 kebahagiaan dan ketenangan tercipta sepanjang bulan Ramadhan kali ini. Semoga di ampuni dosa-dosa kita dan diberi ganjaran seperti yang diharap-harapkan. InsyaAllah. Semoga ramadhan kali ini tidak sia-sia dan membawa 1001 rahmat kepada kita semua.
Namun terpana seketika tika soalan-soalan bisa ini menerjah jiwaku. Cukupkah amalan dan doaku sepanjang Ramadhan ini? Bagaimana pula rintihanku ketika mendamba maghfirah-NYA? Bagaimana pula dengan doaku pada kedua ibu-bapaku? Bagaimana pula doaku pada adik-beradikku dan kaum keluargaku yang lain? (Yakinlah dengan Allah SWT kerana DIA Maha Mendengar Lagi Maha Mengasihani pada hamba-NYA yang tidak pernah berhenti berharap)
Bagaimana pula hubungan dengan sahabat-sahabatku? Jika pernah tersilap kata dan tingkah laku (malah memang pernah!) Maafkan aku! Bagaimana pula dengan ‘mereka’ yang masih bersisa amarah dan dendam? (Mungkin sudah memaafkan cuma masih tidak mampu untuk bertegur-sapa seperti sebelum ini) Walau apapun, tetap minta maaf. Sesungguh-sungguh maaf. (‘mereka’ yang berkaitan sila klik sini)
*** Teringat ketika hari pertama Ramadhan, menunaikan solat tarawih di Masjid el-Huda. Tidaklah jauh dari rumah sewa namun terasa lucu kerana selalu berlari-lari anak sebab ‘mengejar’ solat berjemaah isya’ di masjid tersebut. Memang selalu terlewat sedikit sebab air selalu tiada (masih lagi di musim panas ketika ini, kebiasaannya air bagai chipsmore. kejap ada kejap lagi tiada)
Pernah sekali terpaksa solat di luar bahagian jemaah wanita kerana keadaan sudah terlalu sesak dan padat sehingga tiada ruang untuk kami ‘menumpang kasih’. Hehehe.. Walau bagaimana pun, solat tetap disempurnakan dengan baik walaupun solat di sebelah rak kasut, tetapi tempat tetap bersih
Pada hari ke empat Ramadhan, saya dan kawan serumah tidak lagi solat tarawih di masjid el-Huda. Kami bertukar ke masjid yang kami istilahkan ‘masjid panjang’ kerana kedudukannya yang memanjang dan terletak di sebelah rel keretapi. Tiap-tiap selepas 20minit keadaan agak bising kerana keretapi akan melalui rel sebelah masjid panjang ini.
Seperti biasa, kami pasti berlari-lari anak untuk menyempatkan diri solat isya’ berjemaah di masjid panjang tersebut. Air memang nda sporting ketika ini, huhuhu.. Tapi alhamdulillah, selalunya kami sempat solat berjemaah isya’. Cuma pernah 2-3 kali solat berjemaah sesama kami kerana terlambat sedikit. Dan solat sunat tarawih selalunya memang sempat disempurnakan. Alhamdulillah
Kebanyakan masjid-masjid di Mesir menunaikan solat tarawih hanya 8 rakaat + 3 rakaat (witir). Walaupun hanya 8 rakaat tapi tempoh solat tarawih sekitar dalam 2jam kerana setiap rakaat selepas sempurna membaca surah al-Fatihah, imam akan membaca surah lain dengan bacaan agak panjang (kebiasaan surah a-Quran dari juz1 dan akan sempurna sehingga juz30 sepanjang Ramadhan. InsyaAllah)
Tapi terdapat masjid yang tidak menghabiskan 30juz sepanjang Ramadhan ini (maksud saya, bacaan ketika solat tarawih) Contohnya, masjid panjang ini lah
. Pada malam 28 Ramadhan (semalam) surah yang sempurna dibacakan oleh imam sekitar juz 12 (surah Yusuf). Masjid ini agak ‘seronok’ dan ‘best‘ jugak kerana tiap-tiap malam ketika di akhir khutbah akan di ajukan soalan (soalan tersebut akan dilekat di dinding tiap bahagian – tingkat1, tingkat2 dan tingkat3. selalunya kami solat di tingkat3) Dan jawapannya akan diberitahu pada malam esoknya. Soalan-soalan tersebut selalunya berkaitan dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW, para sahabat Nabi SAW dan peperangan yang pernah disertai oleh Nabi SAW dan sahabat-sahabat Baginda. Selalunya saya dan sahabat-sahabat akan berbincang tentang jawapan sehingga kadang-kadang cari jawapan melalui internet ;P
Terlalu banyak kenangan manis sepanjang bulan Ramadhan kali ini. Pasti saya akan merindui saat-saat yang membahagiakan ini dan mengharap mudah-mudahan sempat bertamu Ramadhan akan datang (jika umur masih panjang, insyaAllah) Semoga kita semua mendapat rahmat dan berkat sepanjang bulan Ramadhan ini. Semoga Allah SWT menerima solat, puasa, zakat dan amalan-amalan ‘sampingan’ kita. Semoga kita adalah hamba-NYA yang ikhlas dan tawakal dalam setiap perkara. Semoga kita benar-benar ‘menang’ dalam perjuangan kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Dan 1 Syawal itulah adalah hari kemenangan kita semua umat Islam. Semoga Ramadhan kali ini dan Syawal yang akan datang ini adalah satu kemenangan yang membahagiakan lagi ‘menyucikan’ kita semua. InsyaAllah.
Sempena kedatangan Syawal ini,
Saya, Nor Affidah Nazurah bt. Roshman mengucapkan SALAM AIDILFITRI. Maaf Zahir dan Batin buat semua Muslimin dan Muslimat. Kullu Sanah wa Antum bi Khair (-_-”)
Sekian.
Sheikhul Al-Azhar puji Malaysia
SHEIKHUL Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi memuji Malaysia kerana kemajuan dalam pelbagai aspek terutama pentadbiran, ekonomi dan pendidikan yang menjadikannya contoh terbaik di kalangan negara Islam.
Beliau berkata, Kerajaan Malaysia di bawah kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memerintah dengan amat baik berdasarkan prinsip Islam Hadhari yang selaras kehendak ajaran al-Quran.
“Malaysia begitu maju dalam banyak aspek dan sememangnya patut menjadi contoh kepada negara Islam. Pemerintahnya sentiasa berpegang kepada ajaran kitab suci dan sunnah Rasulullah untuk memastikan perpaduan, keamanan dan kemakmuran pelbagai kaum,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada perasmian Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 yang disempurnakan Perdana Menteri.
Muhammad Sayyid berkata, hubungan Universiti Al-Azhar dengan Kerajaan Malaysia pula ibarat dua beradik dan begitu erat yang terjalin selama ini.
Katanya, lulusan Al-Azhar yang berasal dari Malaysia patut berbangga kerana mereka adalah antara insan terpilih yang dapat menyumbang kepada pentadbiran negara.
“Antara kelebihan lulusan Al-Azhar ialah mereka berupaya menghafal 30 juzuk al-Quran,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media beliau berkata, orang Islam yang meletupkan diri di kalangan musuh yang cuba membunuh dan memporak-perandakan masyarakat disifatkan sebagai mati syahid.
“Tetapi mereka yang meletupkan diri sehingga mengorbankan wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa di kawasan umum seperti pasar, selain memang bertentangan dengan Islam, kematian itu tidak mati syahid,” katanya ketika menjawab pertanyaan mengenai nasib umat Islam di Palestin yang menuntut hak mereka sehingga meletupkan diri.
Menjawab soalan mengenai karikatur kontroversi yang menghina Nabi Muhammad SAW, Muhammad Sayyid berkata, biarlah golongan cerdik pandai dan ilmuwan Universiti Al-Azhar menjawab penghinaan yang dilakukan pihak tertentu.
“Biarlah kami… jangan orang Islam di tempat lain yang menjawab secara membuta tuli dan membuat tunjuk perasaan kerana ia menyulitkan kami,” katanya.
Beliau turut memuji pelaksanaan Islam Hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri kerana memberi penekanan seimbang kepada keduniaan dan akhirat.
sumber || bharian ||
Malaysia tuan rumah Alumni Al-Azhar
PUTRAJAYA: Malaysia akan menjadi tuan rumah Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar bulan depan, kali pertama diadakan di luar Mesir bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan ummah, ketamadunan, warisan Islam dan pembaharuan.
Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, berkata persidangan kali ketiga yang disertai 1,028 ulama lulusan Universiti Al-Azhar itu akan mencari resolusi mewujudkan keharmonian masyarakat dan kaedah pembangunan mengikut konsep Islam.
“Universiti Al-Azhar mahu membawa tokoh ulama serta alumni universiti itu melihat sendiri kejayaan dicapai negara ini yang dijadikan model berkaitan pengurusan Islam dan negara dengan sempurna,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.
Multaqa yang bertemakan Pendekatan Islam Hadhari di antara Warisan dan Cabaran Semasa itu diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 13 hingga 18 Februari ini.
Ia akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 15 Februari ini.
Abdul Hamid berkata, selain ulama terkenal Universiti Al-Azhar, beberapa pembesar negara termasuk Menteri Waqaf dan Hal Ehwal Islam Mesir, Dr Mahmood Hamdy Zaqzuq; Menteri Pengajian Tinggi Oman, Mubarak Abdullah Al-Rashidi; dan Menteri Haji dan Hal Ehwal Islam Afghanistan, Ni’matullah Shahrani akan hadir.
Menteri Hal Ehwal Islam Bangladesh, Moshame Hossain Muhammed Fins; Menteri Hal Ehwal Islam Republik Guinea Pissau, Abdul Karim Jibutai; dan bekas Menteri Petroleum Arab Saudi, Sheikh Ahmad Zaki Yamani juga dijangka hadir.
Pada majlis perasmian itu, Sheikhul Al-Azhar, Dr Muhammed Sayyid Tantawi akan menyampaikan ucaptama dan dijadualkan menerima anugerah Doktor Kehormat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
sumber |bharian|
MECC 2007
Nilai lulusan agama
Oleh MARZUKI YUSOFF (Di Kaherah, Mesir)
MENGAPA pelajar-pelajar Malaysia di Timur Tengah terutama yang berasal dari Kelantan sering dilabel sebagai propembangkang?
Persepsi seumpama itu (walaupun bukan semua pelajar berpendirian sedemikian) sudah pasti memberi kesan kepada lulusan universiti Timur Tengah untuk mendapat pekerjaan apabila kembali ke tanah air kelak.
Kini, terdapat lebih 7,000 pelajar Malaysia di Mesir yang sebahagian besarnya mengikuti jurusan agama di Universiti Al-Azhar, manakala selebihnya iaitu kira-kira 1,200 orang mengambil jurusan perubatan.
Bagi pelajar jurusan agama di bawah tajaan Kerajaan Pusat atau negeri, kebanyakan mereka mungkin tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan. Berlainan pula dengan keadaan oleh pelajar yang belajar di bawah pembiayaan sendiri apalagi jika diri mereka sengaja dikaitkan dengan propembangkang.
Dalam hal ini, persepsi pihak lain atau sesebuah institusi terhadap seseorang pelajar itu tidak boleh diketepikan begitu saja. Mana-mana majikan terutama yang ada hubung kait dengan kerajaan sukar untuk mengambil bakal pekerja yang tidak sehaluan fahaman politik mereka seperti mana penerimaan atau persepsi masyarakat terhadap bekas penagih dadah atau bekas banduan.
Selain itu, berapa banyakkah peluang pekerjaan yang wujud di pasaran untuk menampung lepasan pelajar jurusan agama yang bukan saja dari Mesir tetapi banyak universiti lain di dalam dan luar negara?
Ribuan pelajar jurusan agama yang dilahirkan setiap tahun itu bakal bersaing untuk merebut peluang pekerjaan di pejabat-pejabat agama, sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran atau menjadi guru di sekolah agama persendirian atau membuka kelas pengajian al-Quran yang pendapatan tidak seberapa.
Bagi pelajar yang dilabel propembangkang sejak dari awal, ada majikan yang berhubung kait dengan kerajaan mungkin terpaksa berfikir panjang mengambil mereka bekerja kerana dibimbangi mereka akan menjadi ustaz atau ustazah yang bakal menjadi alat pembangkang atau menjadi duri dalam lipatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar sempena lawatan kerja dua hari ke Kaherah, baru-baru ini turut menasihati pelajar untuk bersikap lebih rasional demi masa depan mereka.
Menurut Abdullah, kerajaan tidak boleh menyekat kecenderungan politik seseorang tetapi menggesa agar lebih banyak program melibatkan pelajar diadakan agar mereka merasa dihargai dan tidak tersisih.
Atas prinsip itu juga, Perdana Menteri telah memuji penganjuran buat julung kalinya Festival Kerjaya Timur Tengah 2007 (MECC‘07) di sini pada 26 dan 27 November lalu melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Penerangan dan agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diketuai oleh Perbadanan Permodalan Berhad (PNB).
Universiti
Institusi yang mengambil bahagian dalam festival dua hari itu adalah Sime Darby, Puncak Niaga Holding Berhad, Mayban Fortis, NCB Holdings, MNRB, Midf, Bank Islam, Pernec, Prolintas, UMW, Takaful Ikhlas, Darby Park, Bank Rakyat, Chemical Company of Malaysia Berhad, selain beberapa universiti terkemuka di Malaysia.
Ramai tokoh korporat dan GLC seperti Presiden/Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail hadir sebagai dorongan dan pencetus semangat kepada para pelajar.
Sepanjang festival itu berlangsung, temu duga terbuka dilakukan bagi membuka peluang pekerjaan kepada 300 pelajar tahun akhir, selain pendedahan mengenai bidang-bidang pekerjaan yang boleh diisi oleh mereka.
Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Md. Alwi Che Ahmad yang turut serta dalam sesi dialog dengan pelajar bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail ketika diajukan pertanyaan kenapa pelajar Kelantan kerap dilabelkan propembangkang, berpendapat persepsi sedemikian sukar diatasi selagi pelajar terbabit merasa diri mereka terpinggir.
Menurut Md. Alwi, selain datang dari negeri yang diperintah oleh Pas dan pemimpin pembangkang itu pula kerap mengunjungi pelajar di Mesir, maka agak sukar untuk mengatasi masalah tersebut, selain sentimen antikerajaan itu sebahagian besarnya membabitkan pelajar yang belajar atas pembiayaan sendiri.
‘‘Apabila mereka belajar dalam keadaan kesulitan kewangan akan timbul perasaan mahu memberontak dan tidak puas hati sehingga mudah fikiran mereka diracuni oleh pembangkang.
‘‘Apabila menamatkan pengajian, ramai pelajar jurusan agama dari Kelantan ini sukar mendapat pekerjaan dan ini menambah lagi perasaan memberontak dalam diri mereka,” katanya.
Sebab itu, beliau mencadangkan agar diwujudkan tabung khas untuk membantu para pelajar yang tidak mendapat kemudahan pinjaman pelajaran agar mereka tidak merasa dipinggir dan dinafikan hak mendapat kemudahan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran.
Beliau percaya pengumuman Perdana Menteri untuk menambah nilai jurusan agama yang diambil oleh pelajar akan membolehkan mereka bersaing di pasaran pekerjaan dan tidak lagi terikat dengan kerja sebagai guru-guru agama.
‘‘Syarikat Puncak Niaga sendiri telah membuka peluang kepada lebih 100 graduan agama untuk bekerja sebagai pemungut hasil. Jika langkah kerajaan itu berjaya, kita akan dapat menyaksikan lebih banyak lulusan agama akan diambil bekerja di institusi kewangan, syarikat korporat dan sebagainya,” katanya.
Di bawah konsep ‘tambah nilai’ yang diumumkan oleh Perdana Menteri, pelajar jurusan agama akan turut didedahkan dengan bidang lain seperti kewangan, perbankan, pentadbiran dan penguasaan bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka dapat bersaing di pasaran pekerjaan.
Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin pula ketika ditemui berpendapat para pelajar Malaysia di Mesir tidak boleh terlalu jumud termasuk membataskan pergaulan mereka dengan pelajar senegara sehingga minda mereka tertutup dan sukar membaiki tahap penguasaan bahasa Arab.
Mengenai nilai tambah kepada bidang pengajian, beliau percaya lepasan agama dari Universiti Al-Azhar akan menjadi pilihan kerana mereka mempunyai banyak kelebihan terutama kepada syarikat yang mahu mengembangkan perniagaan di negara Asia Barat.
Langkah menambah nilai jurusan agama turut dipersetujui oleh pihak pengurusan tinggi Universiti Al-Azhar dan sekiranya berjalan mengikut perancangan, ia bakal membuka peluang kerjaya lebih luas kepada pelajar jurusan tersebut.
Mungkin Proton atau Perodua boleh bergabung dalam konteks perkongsian perniagaan luar negara dan membuka lebih banyak pusat jualan di lokasi strategik dengan mengambil graduan lulusan agama sebagai pengurus atau eksekutif untuk mempromosi dan menjual kereta model tempatan di pasaran Mesir dan negara-negara yang menggunakan bahasa Arab.
Apa pun, langkah menambah nilai kepada bidang pengajian agama perlu diguna sebaik mungkin oleh para pelajar jika ia dilaksanakan kelak.
Kini terserah kepada para pelajar jurusan agama sendiri sama ada mahu menambah nilai diri mereka atau mahu meneruskan sikap antikerajaan seperti yang lazim dilabelkan ke atas mereka selama ini.
::sumber:: Utusan





