Mesir halang misi masuk Gaza
Kerajaan Hosni Mubarak sekat cubaan aktivis antarabangsa atasi sekatan Israel
KAHERAH: Lebih 1,000 aktivis antarabangsa pulang dari Mesir selepas negara itu menyekat mereka meneruskan perjalanan ke Gaza untuk mengadakan perarakan bersama dengan warga Palestin bagi membantah sekatan Israel terhadap wilayah berkenaan, kata penaja, semalam.
Kebanyakan peserta Perarakan Kebebasan Gaza sudah pulang. Tinggal 250 lagi aktivis di sini, ada yang mungkin cuba masuk ke Gaza dan yang lain balik ke negara masing-masing,” kata seorang penaja, Ann Wright.
Pihak berkuasa Mesir yang awalnya membenarkan konvoi Viva Palestina meneruskan perjalanan ke Gaza kemudian membuat keputusan melarang aktivis 42 negara itu berbuat demikian dengan melalui lintasan sempadan Rafah, satu-satunya jalan masuk yang tidak memerlukan kebenaran Israel.
Aktivis terbabit berharap dapat menyertai penduduk Gaza melakukan perarakan sebelum Tahun Baru sempena ulang tahun pertama serangan ganas Israel yang membunuh 1,400 penduduknya. Di pihak Israel, 13 warganya maut.
Minggu lalu, campur tangan Wanita Pertama Mesir, Suzanne Mubarak, membolehkan 86 penunjuk perasaan memasuki Gaza.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan yang berkumpul di luar kedutaan Perancis di sini selama berminggu-minggu lalu, sudah bersurai, kata kedutaan itu.
Mesir memberi alasan menyekat penunjuk perasaan masuk ke Gaza atas alasan suasana sekarang sensitif serta menuduh mereka cuba memalukan Kaherah dengan melakukan bantahan.
Antara peserta Perarakan Kebebasan Gaza termasuk pemenang Nobel dari Ireland, Mairead Corrigan-Maguire; senator Filipino yang juga aktivis, Walden Bello; penulis Alice Walker; mangsa Holocaust yang terselamat berusia 85 tahun, Hedy Epstein dan beratus-ratus ahli politik, artis dan aktivis.
Konvoi itu turut disertai lapan rakyat Malaysia, empat daripada pertubuhan keamanan Yayasan Perdana dan empat anggota krew Bernama.
Yayasan Perdana menyumbang hampir RM500,000 dalam bentuk bantuan kemanusiaan dan sebuah ambulans kepada rakyat Palestin di Gaza.
Konvoi berkenaan yang cuba memecahkan sekatan Israel selama tiga tahun setengah di Gaza dengan melalui Rafah bagi menyampaikan bantuan itu, meninggalkan London pada 6 Disember lalu sebelum tiba di Aqaba, Jordan.
Sementara itu, Israel mengurangkan laluan komersial ke Gaza kepada tiga, dan menutup laluan tambahan yang digunakan untuk menyalurkan bahan api melalui paip ke Semenanjung Gaza yang disekat, kata pegawai Palestin semalam.
“Israel memberitahu kami laluan Nahal Ozz di timur pusat bandar Gaza akan ditutup selamanya,” kata Ra’ed Fatouh, pegawai Kementerian Ekonomi Palestin.
Mulai sekarang, gas memasak, minyak kenderaan dan diesel akan dihantar ke Gaza melalui Kerem Shalom di tenggara Semenanjung Gaza, tambahnya.
- Agensi
Sumber : Berita Harian
Mesir bina penghadang bawah tanah sempadan Gaza
KAHERAH: Sebuah akhbar harian milik kerajaan Mesir, semalam mengesahkan negara itu membina penghadang bawah tanah di sempadannya dengan Gaza dan bertegas tindakan itu adalah haknya sebagai sebuah negara berdaulat.
Akhbar Al-Gomhuria melaporkan pada muka hadapannya, bahawa penghadang yang dibina itu sama dengan yang ada sekarang, tetapi ditambah dengan cerucuk bawah tanah.
“Mesir berhak membina penghadang di sempadan Gaza untuk melindungi kedaulatannya. Negara ini juga berhak membina tembok yang kuat dan tidak akan runtuh,” lapor akhbar itu.
Laporan akhbar itu adalah sumber maklumat terbaru dan paling dipercayai yang memberi isyarat bahawa Mesir semakin hampir membuat kenyataan rasmi mengesahkan pembinaan penghadang bawah tanah itu bagi menghalang penyeludupan ke Gaza melalui terowong bawah tanah.
Sumber keselamatan yang tidak didedahkan sebelum ini mengesahkan laporan saksi mengenai pembinaan itu.
Media bebas Mesir berulang kali mengecam tindakan kerajaan membina sekatan terbabit kerana ia semakin menyulitkan kehidupan penduduk Gaza yang bergantung kepada terowong untuk semua keperluan.
Bagaimanapun Al-Gomhuria berpendapat sebaliknya.
“Ada sesetengah pihak cuba menggambarkan Mesir turut memainkan peranan menyekat penduduk Palestin dengan menghalang laluan penyeludupan senjata, tetapi perbuatan menyeludup senjata melalui Sinai adalah serangan langsung kepada kedaulatan Mesir,” kata akhbar itu.
Ia menyalahkan pergerakan Hamas yang menguasai Gaza pada 2007 kerana memburukkan lagi keadaan hidup penduduk di wilayah itu dan berkata pergerakan itu patut menandatangani perjanjian damai dengan kumpulan Fatah pimpinan presiden Mahmud Abbas. – AFP
Sumber : Berita Harian







