WELCOME TO MY READERS WHO APPRECIATED,

-- please keep pressing the scroll down and older entries. Happy reading! May Allah be with us (^_^)

Latest

KHUTBAH RASULULLAH SAW DI PENGHUJUNG BULAN SYAABAN

|| Bismillah ||

Disetiap penghujung bulan Syaaban, Rasulullah SAW berdiri berkhutbah mengingatkan para Sahabat R.A tentang kelebihan Ramadhan :

Image

Wahai sekalian manusia kini muncul kepadamu satu bulan yang besar dan mulia,

* Bulan yang teramat berkat.

* Bulan yang didalamnya terdapat satu malam yang lebih tinggi nilainya dari seribu bulan.

* Inilah bulan Allah memfardhukan keatasmu berpuasa disiang hari.

* Menjadikan solat tarawih sebagai sunnah di malam hari.

* Sesiapa yang ingin mendekatkan dirinya kepada Allah melalui amalan sunnah di bulan Ramadhan maka di balasi dengan ganjaran seolah-olah melaksanakan amalan fardhu di bulan lain pada tahun itu.

* Dan barangsiapa melakukan satu amalan fardhu maka akan di balasi 70 kali amalan fardhu di bulan lain pada tahun itu.

* Inilah sesungguhnya bulan kesabaran. Kesabaran yang sejati tiada lain balasannya kecuali syurga.

* Inilah bulan simpati terhadap sesama manusia.

* Di bulan inilah rezeki orang- orang beriman di tambah.

* Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka puasa pada orang yang berpuasa maka ;

1. Dibalas dengan keampunan dari dosanya.

2. Di bebaskan dari api neraka.

3. Memperolehi ganjaran yang sama seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa.

Setelah selesai Rasulullah berkhutbah maka para sahabat bertanya termasuk juga Salman Al-Farisi :“Ya Rasulullah tidak kesemua dari kami dapat memberikan kepada orang berpuasa untuk berbuka?”

Maka Rasulullah SAW menjawab dengan sabdanya yang bermaksud :

Allah akan mengurniakan pahala kepada orang yang memberi walaupun hanya sebiji kurma dan seteguk air dan sehirup susu untuk orang berbuka puasa. Inilah bulan yang pada awalnya Allah menurunkan rahmat, di pertengahannya Allah menurunkan pengampunan dan di akhirnya Allah membebaskan hambaNya dari api neraka.”

(Hadis Riwayat Salman al-Farisi )

Rasulullah SAW bersabda kepada Sayidina Ali KWJ. yang bermaksud :“Wahai Ali ! Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan menjauhi (perbuatan) haram dan perbualan kosong, maka Allah Maha Pengasih akan meredainya dan mewajibkannya masuk kedalam syurga.”

Sahabat yang dikasihi,
Semoga Ramadhan pada tahun ini merupakan Ramadhan yang terbaik dan berjaya kita lalui sepenuhnya dan mendapat rahmat (belas kasih Allah), maghfirah (keampunanNya) dan itqum minannar (selamat dari api neraka).

Berpuasa di bulan Ramadhan adalah merupakan peluang keemasan bagi setiap muslim untuk meningkatkan ketakwaaan diri , menambah rasa kesyukuran atas setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah dan peluang untuk mendapat keampunan daripadaNya.

Firman Allah SWT maksudnya :
“Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab ayat 35)

Dari Abu Umamah R.A berkata : Saya berkata, “Wahai Rasulullah, perintahkan kepadaku untuk melakukan suatu perbuatan”. Baginda bersabda : “Kerjakanlah puasa kerana tidak ada amalan yang setanding dengannya”. Saya berkata : “Wahai Rasulullah, perintahkan kepadaku untuk melakukan suatu perbuatan”. Baginda bersabda : ‘Kerjakan puasa kerana tiada amalan yang setanding dengannya’. Saya berkata : “Wahai Rasulullah, perintahkan kepadaku suatu perbuatan’. Baginda bersabda : “Kerjakan puasa kerana tiada suatu amalan pun yang dapat menyamainya.” (Hadis Riwayat An-Nasai dan Ibnu Khusaimah)

Dari Abu Sa’id R.A, beliau berkata : Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari dimana dia berada di jalan Allah kecuali dengan berpuasa sehari itu Allah akan menjauhkan dirinya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh musim.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, At-Tarmidzi dan An-Nasai)

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT :

“Ya Allah terimalah ibadah puasa kami, solat wajib dan sunat kami, solat tarawih kami , qiyamullail kami, sedekah kami, iktikaf kami serta tadarrus kami dibulanMu yang mulia ini.Ya Allah pertemukanlah kami malam lailatul qadar iaitu malam yang penuh berkat dan malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Ya Allah, terimalah semua ibadah-ibadah kami, taqarrub atau usaha kami mendekatkan hati dan diri kami kepadaMu dan jadikanlah kami semua orang orang yang muttaqin dan di beri pengampunanMu. Ya Allah berikanlah kepada kami rahmat-Mu, keampunan-Mu dan pembebasan daripada seksaan api neraka dan terimalah doa dan amalan kami. Tidak ada siapa yang dapat mengkabulkan doa kami melainkan Engkau, wahai Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang”

Amin Ya Rabbal Alamin.

MARHABAN YA RAMADHAN :’)

Sumber : Bidadari Firdausi (sebahagian ayat telah di olah oleh penulis sendiri) Sebarkan dan semoga bermanfaat. Syukran.

|| Alhamdulillah ||

Melayu/Islam Masakini :'(

|| Bismillah ||

by Fadhil Azwir.

Nowdays di sana sini, golongan remaja, kanak-kanak dan orang tua heboh menceritakan kegilaan dan taksub terhadap Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Konsert Sureheboh TV3, Audition dan Who Will Win. Mereka secara terang-terangan menangisi peserta yang kalah di dalam pertandingan tersebut. Yang tua sama sahaja meratapi peserta yang diumumkan kalah. Lebih malang lagi yang muda berpesta tangisan dan berpeluk-pelukan dengan bukan mahram tanpa sedikitpun rasa segan silu dan bersalah. Yang berada di pentas juga berpeluk-pelukan tanpa mengenal sempadan dan batasan sebagai seorang Islam. Zaman para sahabat dahulu, mereka merintih dan menangis kerana tidak dapat turut serta berjuang di medan perang bersama Rasulullah SAW. Para sahabat menangis sedih jika tidak dipilih untuk berperang kerana terlepas satu peluang untuk mati syahid.

Remaja Melayu/Islam menangis sedih sambil berpelukan dengan bukan mahram kerana tidak menang dan terpilih sebagai penyanyi dan penghibur. Orang yang ada sedikit kewarasan dan saki baki iman di dada akan berdetik di hatinya untuk berkata: “apa sudah jadi dengan anak bangsaku”

Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Umatku akan ditimpakan penyakit yang pernah menimpa umat yang terdahulu”. Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah penyakit umat terdahulu itu”. Rasulullah SAW menjawab: “Terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam mencari harta dunia, cepat marah dan hasud menghasud sehingga berlaku kezaliman”.

Hadis diriwayat oleh Hakim.

 

Berdasarkan hadis ini, salah satu perkara yang menjadi penyebab kehancuran dan kemusnahan umat yang terdahulu ialah kerana terlalu banyak berseronok dan kuat berhibur. Yang peliknya 95 peratus peserta adalah masyarakat Melayu/Islam. Penontonnya pula hampir semunya Melayu/Islam. Inilah satu penyakit baru yang sedang melanda masyarakat Melayu/Islam. Apakah tidak terfikir bahawa satu hari nanti masyarakat Melayu/Islam bakal dimusnahkan oleh Allah SWT seperti umat yang terdahulu.

Cuba kita tanya mereka, kenalkan mereka kepada pejuang Islam yang syahid di medan perang. Kenalkakah mereka terhadap para sahabat Rasulullah SAW. Kenalkah mereka terhadap Rasulullah SAW itu sendiri. Mungkin mereka tidak pernah mendengar nama-nama besar di dalam sejarah Islam seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan, Ali bin Abi Tholib, Amru al-Ash, Zubair al-Awwam, Zaid bin Thabit, Zaid bin Haritsah, Khalid al-Walid, Hamzah bin Abdul Mutalib, Saad bin Abi Waqas dan banyak lagi.

Tanyakan pula pada mereka apakah mereka kenal dengan peserta popular Akademi Fantasia atau penyanyi popular Barat. Sudah pasti jawapanyanya kenal dan teramat kenal. Mereka pasti kenal penyanyi berimej seks seperti Britney Spears,Justin Bieber,LMFAO, semua penyanyi Linkin Park dan banyak lagi. Mereka bukan setakat kenal malah mengikuti dan menghayati gaya hidup seharian artis popular ini. Para artis dimuliakan dan disanjung tinggi dan mendapat tempat di hati mereka. Lebih parah lagi mereka jadikan artis sebagai idola. Di dalam hal ini Rasulullah SAW ada memberi ingatan tentang perkara yang menyebabkan bala segera diturunkan ke atas sesuatu umat: Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Daripada Ali bin Abi Tholib R.A. Rasulaullah SAW bersabda: Apabila umatku telah membuat lima belas perkara maka bala pasti akan turun ke atas mereka: apabila harta negara beredar pada orang-orang tertentu sahaja, apabila amanah dijadikan sebagai satu sumber keuntungan, apabila zakat dijadikan hutang, apabila suami memperturutkan segala kehendak isteri, apabila anak derhaka kepada ibunya, apabila anak-anak hanya mendengar cakap kawan-kawannya, apabila anak-anak menjauhkan diri daripada bapanya, apabila suara ditinggikan di dalam masjid, apabila orang yang menjadi ketua bagi sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di kalangan mereka, apabila seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya, apabila arak sudah diminum di serata tempat, apabila kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki, apabila artis disanjung dan dimuliakan, apabila muzik banyak dimainkan orang dan apabila generasi akhir umat melaknat dan menyalahkan generasi para sahabat”.

Hadis diriwayatkan oleh Tarmizi.

 

Kita renung bersama kata-kata Prof Dr Yusuf Qardahwi: “Kalau ingin melihat rupa bentuk sesuatu bangsa pada masa akan datang lihatlah remajanya hari ini”. Beliau juga berkata : “Petanda sesuatu bangsa akan musnah, terlebih dahulu musnah akhlaknya”.

Bangsa Melayu/Islam khususnya golongan remaja menepati ciri-ciri bangsa yang bakal dihancurkan kerana akhlaknya telahpun musnah, Tidak mustahil bangsa Melayu/Islam akan menjadi satu bangsa yang bakal terhapus sebagaimana umat terdahulu yang telah dimusnahkan oleh Allah SWT kerana terlalu banyak berseronok dan berhibur. Amat malang bagi masyarakat Melayu/Islam sekiranya program seumpama ini tidak dapat dihentikan dalam masa yang terdekat. Tidak ada gunanya kita bercakap soal “nation building” jika di sana sini kita biarkan perkara yang meruntuhkan “nation building” berlaku secara berleluasa. Program hiburan melampau ini sebenarnya bukan setakat mengagalkan “nation building” tetapi akan menghancurkannya. Percaya dan yakinlah orang yang semasa mudanya banyak berhibur dan bergembira di waktu tuanya akan banyak berduka. Masyarakat yang kuat berhibur dan lalai dengan perkara yang mengasyikkan akan berduka akhirnya.

 

Seperti yang kita lihat rancangan di negara kita sekarang tanpa sempadan. Rancangan hiburan lagi banyak dari rancangan membina JATI DIRI masyarakat seperti di negara-negara maju yang lain.

Sebagai kesimpulannya berhibur tidaklah dilarang terus oleh Islam tetapi biarlah kena dengan bentuk dan jenisnya. Hiburan jenis melampau dan taksub ini tentu sahaja dilarang keras oleh Islam. Hiburan yang melampau dan taksub ini menjadi penggalak kepada kegiatan maksiat dan dosa yang lain seperti zina, minum arak, hisap dadah, bergaduh dan sebagainya. Marilah kita sama-sama fikirkan tentang “nation building” pembinaan bangsa bukan dalam bentuk slogan semata-mata tetapi dalam bentuk implimentasinya.

Sumber : Facebook

|| Alhamdulillah ||

Biodata Rasulullah SAW

|| Bismillah ||

BIODATA RASULULLAH SAW

• Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim

• Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka’abah) • Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah

• Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim

• Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf

• Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)

• Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)

• Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

USIA 5 TAHUN
• Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.

USIA 6 TAHUN
• Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
• Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
• Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
• Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
• Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. • Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
• Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
• Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN
• Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
• Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.
• Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
• Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
• Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah.
•Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
• Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
• Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
• Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
• Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
• Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

|| Alhamdulillah ||

لو كان بيننا

|| Bismillah ||

 

Kalaulah Rasulullah SAW ada bersama-sama dengan kita ketika ini, sungguh pasti kita tidak layak bersamanya kerana kelalaian kita dari mengikuti Sunnah Baginda lantas ketaksuban kita dalam mengejar keduniaan membuatkan lembaran dosa sentiasa bertambah. Saya terlalu rindu pada Rasulullah, namun layakkah saya ? Terlalu hina diri ini untuk mengatakan yang demikian namun inilah hakikat kerinduan dari salah seorang ummat Mu yang paling hina ini.

اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد كما صليت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم

وبارك على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد كما باركت على سيدنا إبراهيم

وعلى اله وسيدنا إبراهيم في العالمين انك حميد مجيد

Layakkah kita mendapat syafaat Baginda Rasulullah SAW semasa di akhirat nanti?

Layakkah kita meminum air telaga Kauthar sebagaimana dijanjikan oleh Allah pada surah Al-Kauthar?

Tiada Tuhan di sembah melainkan Allah. Sesungguhnya kami termasuk di kalangan hamba Mu yang zalim. Engkau jualah kami tempat memohon dan merayu supaya membimbing kami menjadi hamba yang ikhlas mentaati MU. Insha Allah.

Amin Ya Rabb.

|| Alhamdulillah ||

Gambaran Hari Kiamat

|| Bismillah ||

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail dan beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran dan keagunganNya sebagai Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil A.S dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali kedua, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib dan masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik di hari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.

ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.

ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “Pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam A.S menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh A.S, Nabi Ibrahim A.S, Nabi Musa A.S, Nabi Isa A.S (semuanya memberikan sebab seperti Nabi AdamA.S) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa Baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir dan munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat-sahabat yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:

Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat.

Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

Sedekah/amal jariahnya.

Doa anak-anaknya yang soleh.

Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.


SOURCE.


|| Alhamdulillah ||