Anak, isteri Saddam diburu

Raghad, ibu berdepan hukuman mati kerana didakwa biayai keganasan di Iraq

SEMALAM, pihak polis antarabangsa atau Interpol mengeluarkan waran memburu isteri dan anak perempuan sulung bekas Presiden Iraq Saddam Hussein, atas dakwaan terbabit membiayai keganasan di Iraq.

Apa menyedihkan, notis itu dikeluarkan tidak sampai setahun selepas Saddam menjalani hukuman mati di Baghdad dan kini satu demi satu anggota keluarganya pula menjadi sasaran buruan atas alasan terbabit dalam keganasan di negara asal mereka.

Hukuman yang dihadapi Raghad Hussein, 38, bersama ibunya Sajida Khairalla Tulfa pula berat iaitu hukuman mati yang jika benar, menyusuli nasib bapa dan suami tersayang mereka.

Di mata penyokong setianya, Saddam yang menjalani hukuman gantung Disember lalu sebagai pejuang Syuhada yang memerangi pencerobohan. Saddam disingkirkan tentera diketuai Amerika Syarikat pada 2003, didapati bersalah melakukan jenayah kemanusiaan biarpun proses perbicaraannya didakwa dicemari pelbagai penyelewengan.

Kini, nasibnya diikuti anak dan isterinya. Seorang pegawai kerajaan Iraq berkata, pihak berkuasa negara itu meletakkan Raghad dan ibunya di dalam senarai 41 orang paling dikehendaki atas tuduhan menyokong puak pemisah di Iraq.

Kedua-duanya dituduh membiayai perbelanjaan kewangan kumpulan pemisah yang dipersalahkan berikutan pelbagai siri serangan dan pengeboman di negara itu sejurus selepas rejim Saddam digulingkan pada 2003.

Jurucakap kerajaan, Abdul Kereem Khalaf berkata pihak berkuasa perundangan Iraq sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap Raghad setahun lalu, tetapi ia hanya diketahui umum sekarang selepas Interpol mengeluarkan notis di seluruh dunia untuk memburu kedua-dua mereka.

“Kami mempunyai fail bukti lengkap terhadapnya dan ia berada di mahkamah. Jika anda bernasib baik anda boleh melihatnya, tetapi pada dasarnya, dia dituduh menyebabkan kematian sejumlah besar rakyat Iraq kerana membiayai kumpulan pengganas,” katanya yang dipetik media Britain dan Amerika Syarikat, semalam.

Beliau berkata notis Interpol bukanlah waran tangkap antarabangsa sebaliknya sekadar satu amaran untuk memaklumkan negara anggota pasukan polis antarabangsa berhubung pemburuan kedua-dua mereka.

Anehnya, Khalaf tidak pula menyatakan nama kumpulan pengganas yang dibiayai Raghad. Beliau juga tidak menyatakan tuduhan lain selain membiayai kumpulan pengganas, yang bakal dikenakan terhadap anak dan isteri Saddam itu.

Beliau berkata penasihat kerajaan Iraq sudah berlepas ke Jordan minggu lalu untuk mengatur penahanan Raghad, tetapi enggan mengulas sama ada kerajaan Jordan akan memberi kerjasama.

“Perkara itu tidak penting pada peringkat ini. Selagi waran yang dikeluarkan Interpol masih berkuat kuasa, peluang untuk menangkapnya tetap ada dan dia akan diserahkan kepada kerajaan Iraq,” katanya.

Apa pun, berita terbaru nasib Raghad dan ibunya seperti bapanya yang masih dikenali dan dikenang dunia, mendapat liputan meluas.

Tidak hairanlah, beberapa jam selepas pengumuman itu, media antarabangsa berlumba-lumba melaporkan nasib terbaru dialami Raghad – anak kesayangan Saddam yang dikatakan banyak mewarisi sikap keras kepala bapanya.

Raghad kini dilaporkan tinggal di Amman, Jordan dan menjadi tetamu kepada pemerintah Jordan, Raja Abdullah II, manakala Sajida sebaliknya menetap di Qatar.

Walaupun tinggal berasingan, hubungan dua beranak ini dikatakan akrab dan Raghad juga dikatakan sering ke Qatar untuk menziarahi ibunya.

Raghad bersama adiknya Rana melarikan diri ke Jordan dari Syria pada pertengahan 2003 sejurus selepas kerajaan bapanya digulingkan dan mendapatkan perlindungan daripada Raja Jordan.

Beliau mempunyai lima orang anak termasuk seorang anak lelaki yang diberi nama Saddam dan tinggal di sebuah villa di kawasan pinggir bukit daerah Abdoun, Amman.

Ketika Saddam masih berkuasa, Raghad dikatakan menjadi ‘ketua’ dalam urusan istana Presiden dan mewarisi sikap keras kepala serta panas baran bapanya.

Bagaimanapun, sejak Saddam digulingkan, Raghad jarang tampil di khalayak kerana tinggal.

Bagaimanapun dalam satu perhimpunan di Amman selepas bapanya dihukum mati, Raghad berkata kepada 500 penunjuk perasaan:

“Saya mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana memberi penghormatan kepada Saddam yang mati syahid.”

Seorang kakitangan kanan di kediaman Raghad berkata, wanita itu dan ibunya kini berada di Jordan.

“Sudah tentu dia mengetahui mengenai waran itu dan perkembangan terbaru yang bakal mereka hadapi. Dia juga mendengar berita itu seperti orang lain,” katanya yang enggan mendedahkan namanya.

Apa yang pasti, di sebalik rasa tidak puas hati kalangan proSaddam yang melihat laporan itu sebagai rentetan mencemari imej Saddam di mata dunia dengan mengaitkan anak dan isterinya dalam keganasan, penduduk Syiah Iraq yang sejak sekian lama bertelagah dengan Sunnah, sebaliknya mengalu-alukan berita berkenaan.

“Saya harap mereka menangkapnya secepat mungkin, bukan mereka saja, tetapi sesiapa yang dibuktikan bersalah dengan tindakan yang dilakukan,” kata Mohammed Hamoudi.

Tidak kurang pula yang meragui keupayaan hakim mengemukakan bukti kukuh bagi pendakwaan Raghad dan ibunya.

Di celah kegembiraan mereka, sudah semestinya Raghad dan ibunya kini tidak mampu duduk senang, mahu pun tidur lena mengenangkan status diri sebagai buruan.

Lebih menyedihkan apabila negara asal yang menjadi tempat kelahiran dan kenangan indah bersama sekeluarga, kini menunggu sebagai tempat perbicaraan dan andai mereka bersalah, menjadi tempat kematian.

Yang pasti, nasib dan laporan berhubung diri Raghad dan Sajida akan terus didekati dunia dengan satu pertanyaan, apakah mereka bakal senasib Saddam Hussein.

sumber || berita harian||

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s