MECC 2007

Nilai lulusan agama

Oleh MARZUKI YUSOFF (Di Kaherah, Mesir)

MENGAPA pelajar-pelajar Malaysia di Timur Tengah terutama yang berasal dari Kelantan sering dilabel sebagai propembangkang?

Persepsi seumpama itu (walaupun bukan semua pelajar berpendirian sedemikian) sudah pasti memberi kesan kepada lulusan universiti Timur Tengah untuk mendapat pekerjaan apabila kembali ke tanah air kelak.

Kini, terdapat lebih 7,000 pelajar Malaysia di Mesir yang sebahagian besarnya mengikuti jurusan agama di Universiti Al-Azhar, manakala selebihnya iaitu kira-kira 1,200 orang mengambil jurusan perubatan.

Bagi pelajar jurusan agama di bawah tajaan Kerajaan Pusat atau negeri, kebanyakan mereka mungkin tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan. Berlainan pula dengan keadaan oleh pelajar yang belajar di bawah pembiayaan sendiri apalagi jika diri mereka sengaja dikaitkan dengan propembangkang.

Dalam hal ini, persepsi pihak lain atau sesebuah institusi terhadap seseorang pelajar itu tidak boleh diketepikan begitu saja. Mana-mana majikan terutama yang ada hubung kait dengan kerajaan sukar untuk mengambil bakal pekerja yang tidak sehaluan fahaman politik mereka seperti mana penerimaan atau persepsi masyarakat terhadap bekas penagih dadah atau bekas banduan.

Selain itu, berapa banyakkah peluang pekerjaan yang wujud di pasaran untuk menampung lepasan pelajar jurusan agama yang bukan saja dari Mesir tetapi banyak universiti lain di dalam dan luar negara?

Ribuan pelajar jurusan agama yang dilahirkan setiap tahun itu bakal bersaing untuk merebut peluang pekerjaan di pejabat-pejabat agama, sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran atau menjadi guru di sekolah agama persendirian atau membuka kelas pengajian al-Quran yang pendapatan tidak seberapa.

Bagi pelajar yang dilabel propembangkang sejak dari awal, ada majikan yang berhubung kait dengan kerajaan mungkin terpaksa berfikir panjang mengambil mereka bekerja kerana dibimbangi mereka akan menjadi ustaz atau ustazah yang bakal menjadi alat pembangkang atau menjadi duri dalam lipatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar sempena lawatan kerja dua hari ke Kaherah, baru-baru ini turut menasihati pelajar untuk bersikap lebih rasional demi masa depan mereka.

Menurut Abdullah, kerajaan tidak boleh menyekat kecenderungan politik seseorang tetapi menggesa agar lebih banyak program melibatkan pelajar diadakan agar mereka merasa dihargai dan tidak tersisih.

Atas prinsip itu juga, Perdana Menteri telah memuji penganjuran buat julung kalinya Festival Kerjaya Timur Tengah 2007 (MECC‘07) di sini pada 26 dan 27 November lalu melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Penerangan dan agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diketuai oleh Perbadanan Permodalan Berhad (PNB).

Universiti

Institusi yang mengambil bahagian dalam festival dua hari itu adalah Sime Darby, Puncak Niaga Holding Berhad, Mayban Fortis, NCB Holdings, MNRB, Midf, Bank Islam, Pernec, Prolintas, UMW, Takaful Ikhlas, Darby Park, Bank Rakyat, Chemical Company of Malaysia Berhad, selain beberapa universiti terkemuka di Malaysia.

Ramai tokoh korporat dan GLC seperti Presiden/Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail hadir sebagai dorongan dan pencetus semangat kepada para pelajar.

Sepanjang festival itu berlangsung, temu duga terbuka dilakukan bagi membuka peluang pekerjaan kepada 300 pelajar tahun akhir, selain pendedahan mengenai bidang-bidang pekerjaan yang boleh diisi oleh mereka.

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Md. Alwi Che Ahmad yang turut serta dalam sesi dialog dengan pelajar bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail ketika diajukan pertanyaan kenapa pelajar Kelantan kerap dilabelkan propembangkang, berpendapat persepsi sedemikian sukar diatasi selagi pelajar terbabit merasa diri mereka terpinggir.

Menurut Md. Alwi, selain datang dari negeri yang diperintah oleh Pas dan pemimpin pembangkang itu pula kerap mengunjungi pelajar di Mesir, maka agak sukar untuk mengatasi masalah tersebut, selain sentimen antikerajaan itu sebahagian besarnya membabitkan pelajar yang belajar atas pembiayaan sendiri.

‘‘Apabila mereka belajar dalam keadaan kesulitan kewangan akan timbul perasaan mahu memberontak dan tidak puas hati sehingga mudah fikiran mereka diracuni oleh pembangkang.

‘‘Apabila menamatkan pengajian, ramai pelajar jurusan agama dari Kelantan ini sukar mendapat pekerjaan dan ini menambah lagi perasaan memberontak dalam diri mereka,” katanya.

Sebab itu, beliau mencadangkan agar diwujudkan tabung khas untuk membantu para pelajar yang tidak mendapat kemudahan pinjaman pelajaran agar mereka tidak merasa dipinggir dan dinafikan hak mendapat kemudahan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran.

Beliau percaya pengumuman Perdana Menteri untuk menambah nilai jurusan agama yang diambil oleh pelajar akan membolehkan mereka bersaing di pasaran pekerjaan dan tidak lagi terikat dengan kerja sebagai guru-guru agama.

‘‘Syarikat Puncak Niaga sendiri telah membuka peluang kepada lebih 100 graduan agama untuk bekerja sebagai pemungut hasil. Jika langkah kerajaan itu berjaya, kita akan dapat menyaksikan lebih banyak lulusan agama akan diambil bekerja di institusi kewangan, syarikat korporat dan sebagainya,” katanya.

Di bawah konsep ‘tambah nilai’ yang diumumkan oleh Perdana Menteri, pelajar jurusan agama akan turut didedahkan dengan bidang lain seperti kewangan, perbankan, pentadbiran dan penguasaan bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka dapat bersaing di pasaran pekerjaan.

Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin pula ketika ditemui berpendapat para pelajar Malaysia di Mesir tidak boleh terlalu jumud termasuk membataskan pergaulan mereka dengan pelajar senegara sehingga minda mereka tertutup dan sukar membaiki tahap penguasaan bahasa Arab.

Mengenai nilai tambah kepada bidang pengajian, beliau percaya lepasan agama dari Universiti Al-Azhar akan menjadi pilihan kerana mereka mempunyai banyak kelebihan terutama kepada syarikat yang mahu mengembangkan perniagaan di negara Asia Barat.

Langkah menambah nilai jurusan agama turut dipersetujui oleh pihak pengurusan tinggi Universiti Al-Azhar dan sekiranya berjalan mengikut perancangan, ia bakal membuka peluang kerjaya lebih luas kepada pelajar jurusan tersebut.

Mungkin Proton atau Perodua boleh bergabung dalam konteks perkongsian perniagaan luar negara dan membuka lebih banyak pusat jualan di lokasi strategik dengan mengambil graduan lulusan agama sebagai pengurus atau eksekutif untuk mempromosi dan menjual kereta model tempatan di pasaran Mesir dan negara-negara yang menggunakan bahasa Arab.

Apa pun, langkah menambah nilai kepada bidang pengajian agama perlu diguna sebaik mungkin oleh para pelajar jika ia dilaksanakan kelak.

Kini terserah kepada para pelajar jurusan agama sendiri sama ada mahu menambah nilai diri mereka atau mahu meneruskan sikap antikerajaan seperti yang lazim dilabelkan ke atas mereka selama ini.

::sumber:: Utusan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s