Konvoi ‘Viva Palestina’

6 lagi warga Malaysia sertai konvoi Viva Palestina

DAMSYIK: Dua lagi anggota Malaysian Perdana Global Peace Organisation (PGPO) dan empat kakitangan Bernama TV hari ini menyertai Konvoi Viva Palestina yang sedang meneruskan perjalanannya sejauh 3,200 kilometer ke Gaza bagi mengagihkan bantuan kemanusiaan.

Anggota PGPO itu ialah Mathias Chang dan Shamsul Akmar Musa Kamal, manakala kakitangan Bernama TV pula terdiri daripada wartawan Kuzaimah Idris, penolong penerbit Azmawati Azmi, penyampai berita Masrenny Waty Che Masri dan jurukamera Mohd Shafiee Abdullah.

Mereka tiba dari Kuala Lumpur pada 18 Disember bagi menyertai fasa terakhir pengembaraan konvoi berkenaan dari sini yang mengandungi 144 trak, van dan ambulans dengan membawa bekalan bantuan bernilai lebih AS$1 juta.

Sebelum ini, dua anggota PGPO, Juana Jaafar dan Ram Karthigasu, menyertai konvoi itu yang memulakan perjalanannya di London pada 6 Disember dan telah melalui beberapa pekan dan bandar di pelbagai negara.

PGPO adalah antara peserta dari berpuluh institusi dan pertubuhan yang menyertai konvoi itu bagi mempamerkan sokongan mereka terhadap rakyat Palestin serta menolak pencerobohan Israel di Gaza.

Konvoi dianggotai 416 sukarelawan itu akan meredah perjalanan selama enam hari dari sini ke Amman dan Aqabah di Jordan serta Nuweiba hingga ke sempadan Rafa di Mesir.

Ketua logistik konvoi berkenaan, Amer Nazir memberitahu Bernama bahawa antara bekalan bantuan yang dibawa untuk diagihkan kepada penduduk Palestin ialah peralatan perubatan, makanan, makanan bayi serta pakaian musim sejuk.

Katanya, rakyat Palestin di Gaza menghadapi kekurangan bekalan air bersih, makanan segar dan ubat-ubatan.

“Untuk bantuan perubatan, kami bawa pelbagai bekalan, daripada picagari, mesin dialisis, mesin pemindahan jantung, kerusi roda, tongkat dan kain pembalut, pendek kata daripada sekecil-kecil barang hinggalah kepada mesin paling besar, ada bersama kami,” katanya.

Konvoi berkenaan dianggotai sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Amerika, United Kingdom (UK), Perancis, Belgium, Itali, Turki, New Zealand dan Australia, dengan latar belakang kehidupan yang berbeza semata-mata untuk melakukan kerja amal.

“Ada antara mereka yang meninggalkan kerja untuk datang ke sini, ada antara mereka yang tergolong sebagai profesional yang melihat inilah satu-satunya cara bagi mereka untuk menzahirkan perasaan masing-masing tentang isu berkenaan, ada antara mereka hanya orang biasa, pemandu teksi yang sanggup meninggalkan keluarga untuk ke Gaza,” katanya.

Amer berkata, konvoi itu mendapat sokongan hebat daripada segi sumbangan barangan dan banyak sukarelawan yang berminat menyertainya.

Viva Palestina, sebuah badan amal berpejabat di Britain, menganjurkan misi itu bagi mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang terperangkap dalam peperangan di Gaza.

Warga Britain, Slyvia Wall, 70, sanggup datang dari England ke Damsyik semata-mata bagi menyertai konvoi itu, yang dalam perjalanan peringkat akhirnya ke Gaza.

Wanita ini tidak berpeluang menyertai konvoi berkenaan dari London kerana tidak berdaya meredah perjalanan sejauh 4,800km ke Syria kerana faktor usia dan keadaan fizikal yang tidak mengizinkannya berbuat demikian.

Wall kelihatan begitu bersemangat untuk mempamerkan sokongannya kepada rakyat Palestin serta menceritakan pengalaman dan perjuangannya bagi membela nasib golongan itu.

Wanita ini melahirkan harapan agar kewujudan konvoi antarabangsa itu akan memberi isyarat jelas bahawa masyarakat dunia mahu rejim Israel menarik balik sekatan yang dikenakannya terhadap penduduk Gaza dengan dunia luar.

Gaza dikepung sejak 2007 hingga menyebabkan rakyat Palestin di situ terputus bekalan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan pelbagai keperluan asas lain.

“Sepanjang ingatan saya, rakyat Palestin telah diperlakukan secara tidak adil, kini saya sudah berusia 70 tahun dan selama 60 tahun, rakyat Palestin telah dilayan dengan teruk, tiada kata-kata yang dapat menggambarkannya, saya amat marah.

“Saya ada ramai kawan Palestin di England, di Cyprus. Mereka orang baik, bukan seperti yang digambarkan oleh Barat sebagai pengganas dan di England keadaannya amat buruk, setiap kali mereka menyebut perkataan Palestin, ia selalunya diikuti dengan perkataan pengganas, sedangkan hakikatnya bukan begitu,” katanya.

Wall telah mengabdikan seluruh usia mudanya dalam perjuangan membela nasib rakyat Palestin.

Sejurus berakhirnya peperangan di Gaza, beliau ke Greece bagi membantu seorang budak lelaki Palestin berusia 14 tahun menjalani kehidupan hariannya setelah kehilangan kaki semasa perang itu.

“Saya akan ke Jordan dan Mesir melalui gurun pasir Nil di sepanjang kawasan pantai, jalan pesisir pantai sejauh 40 km ke Rafah dan harap-harap, InsyaAllah kami akan sampai ke Gaza,” katanya.

Setiap peserta konvoi ini menggunakan pembiayaan sendiri.

Pada 27 Disember tahun lalu, Israel memulakan serangan udara terhadap Semenanjung Gaza dengan tujuan menghalang serangan roket dan penyeludupan senjata ke wilayah itu.

Tentera Israel telah membunuh lebih 1,400 rakyat Palestin dalam tempoh tiga minggu serangan itu dan mengakibatkan kemusnahan teruk terhadap kemudahan asas mereka seperti rumah, sekolah, hospital dan stesen tenaga elektrik.

Sejak itu, Israel menghalang semua bentuk barangan daripada dibawa masuk ke Gaza, kecuali bantuan kemanusiaan. – Bernama

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s