Jujurkah Kita Tentang Cinta?

|| Bismillah ||

Sudah lama saya ingin menulis entri tentang ini iaitu tentang cinta, tetapi selalu tidak berkesempatan atas kesibukan kerja. Harus di ‘edit’ dan selalu saja masuk ‘draft’ sehinggalah saya puas hati. Dan inilah serba sedikit yang ingin saya kongsikan bersama anda semua. Semoga Allah merahmati anda hendaknya🙂

JANGAN KHIANATI CINTA.

Saya akui, kebanyakan wanita diluar sana selalu saja mengeluh dan menghela nafas kerisauan tentang cinta. Pernahkah kita terfikir betapa indahnya cinta itu apabila kita menghayatinya dan melaksanakannya penuh jujur. Namun sebaliknya yang berlaku kerana cinta sering dikhianati. Jika kita cinta maka haruslah jujur dengan hati. Di hati mengatakan cinta, namun di mulut mengatakan sebaliknya. Akhirnya, anda-lah yang merasakan betapa seksanya tubuh dan hati tentang hipokrasi perasaan yang anda sendiri ciptakan. Bagaimana harus jujur? Katakan saja anda cinta. Meluah adalah lebih baik daripada menahannya untuk terseksa bertahun.

Bagaimana pula melahirkan sesuatu perasaan ke situasi yang realiti? Dan bagaimana pula membuktikannya? Sudah tentu jawapannya, anda sanggup melakukan apa saja demi cinta anda kepada si dia. Perbuatan anda seiring dengan perasaan cinta yang lahir dari hati yang jujur. Anda sanggup memberi ruang dan masa yang lebih kepada si dia. Itulah terjemahan perasaan cinta anda melalui perbuatan atau kelakuan.

Apa yang pasti, apabila kita mencintai Allah SWT sudah tentu kita tahu apa yang dikehendaki-NYA dan kita mengerti apa kemurkaan-NYA. Mencintai Allah SWT ada caranya, bukan hanya dengan berpuitis. Mari kita renungkan ingatan dari Allah SWT ini;

tuhibbunallah.JPG

“Katakanlah: Jika sesungguhnya kamu itu mencintai Allah maka ikutlah aku, nescaya kamu juga akan dikasihi oleh Allah, dan akan diampun-Nya kesalahanmu. Dan Allah itu Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Aal Imraan 3: 31)

Jika cintakan Allah, contohilah Rasulullah SAW. Semoga kita menyibukkan diri dengan belajar, berdakwah dan memberi peringatan bersama membela agama demi cinta kita kepada Allah SWT dan Rasul-NYA. Jangan sesekali mengkhianati cinta dan belajarlah mencintai walaupun kadang-kadang pernah lalai. Pernah lalai itu adalah kebiasaan manusia yang sememangnya selalu saja terlupa namun bukan kebiasaan jika tidak mahu berubah dan bertaubat walau sesekali. Mudah-mudahan kita tergolong dalam manusia yang sentiasa saja bertaubat dan berusaha ke arah menggapai cinta karamah yang didambakan setiap hamba Allah SWT. Betapa banyak ujian untuk menggapainya, namun segala-galanya bukan mustahil untuk berusaha bukan hanya kerana petah berpuitis🙂 Hanya jiwa tulus dan suci yang dapat menilai nawaitu diri yang sebenar untuk mencapai keredhaan yang di idam-idamkan (selamat mencari kecintaan yang didamba🙂 )

JODOH ADALAH KESABARAN DAN KEAJAIBAN.

Setiap manusia sudah ditetapkan takdir yakni qada’ dan qadar masing-masing melalui ketetapan Allah SWT sejak azali lagi. Sebagai contoh, sebelum kejadian alam semesta, Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya di ikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Sebagai contoh lagi, Allah SWT telah menetapkan kaum wanita yang akan mengandung dan melahirkan anak dan bukannya kaum lelaki dan ini juga tidak dapat di ubah. Allah juga menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pun dapat mengubahnya hatta pakar perubatan sekalipun. Ini adalah sebahagian dari ketetapan qada’ dan qadar.

Tahukah anda, apabila hati selalu sudah mendampingi Tuhan, selalu berbicara dengan-NYA (yakni berdoa), selalu saja mendahulukan DIA dalam segenap perkara yang dilakukan, nescaya suatu pemberian yang tiada pada orang lain akan dianugerahkan kepada anda; iaitu firasat hati. Maksudnya di sini, kita memberi sepenuh jiwa raga pada Tuhan maka Tuhan juga memberi. Jika kita mencintai-NYA, DIA juga pasti mencintai kita. Apabila kita laksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah pasti DIA membalasnya jua. Dan persoalannya di sini;

Bagaimana pula tentang jodoh?

Kebiasaannya, dalam urusan mencari jodoh atau mencari pasangan ini kebanyakan orang terlalu berhati-hati. Harus teliti dalam mencari, merencana, menyelidik dan proses memilih pula. Ini kerana mencari pasangan adalah bukan seperti mencari kasut yang hendak dipakai beberapa bulan akan tetapi ini adalah mencari pasangan dan peneman sepanjang kehidupan kita dan bukanlah apabila ia rosak harus buang dan ganti yang baru sesuka hati. Kerana dialah pasangan kita sampai ke syurga dan mungkin dialah juga yang menunggu di pintu syurga kelak. Dialah satu-satunya teman kita bermula dari dunia (pandang pertama) sehingga ke alam syurga, alangkah indahnya!

Adapun wahai pembaca budiman, ingin saya kongsikan beberapa perkara. Dalam proses mencari jodoh, jiwa harus bersedia dalam menghadapi sesuatu yang sesuai dengan keinginan kita dan juga bersedia menghadapi jika sesuatu yang tidak sesuai dengan keinginan kita. Apabila dalam proses mencari pasangan, berlapang dada adalah sangat penting kerana tidak semua keinginan kita sesuai dalam kehidupan kita.

“Mungkin apa yang kamu sukai itu tidak baik bagi kamu, dan apa yang kamu benci itu terbaik untuk kamu, ALLAH lebih mengetahui sedangkan kamu (wahai manusia) tidak mengetahui (baik dan buruknya).” Surah al-Baqarah.

Tugas kita hanya dua. Meluruskan niat dan menyempurnakan ikhtiar. Yang terbaik hanyalah ALLAH YANG MAHA TAHU. Punya keinginan adalah yang baik, tetapi kalau kita merasa tahu atas yang terbaik itu bukan sikap orang yang beriman. Menyandang status ‘Andartu’ atau ‘Bujang Terlajak @ Lapok’ bukanlah satu kesalahan besar akan tetapi mereka yang menggelarkannya mungkin terlupa qada’ dan qadar Tuhan yang sudah pun kita maklum sebenarnya. Setiap apa yang berlaku pada diri kita adalah dengan izin Allah SWT barulah ianya akan berlaku tetapi harus ingat, selepas kita berdoa yakni mendampingi Allah SWT, meminta kepada-NYA dan berusaha selaras dengan niat. Jangan pernah lupa itu!

JANGAN MENYUKARKAN DIRI.

Sikap terlalu berhati-hati dalam mencari pasangan juga ada sulitnya dalam jalan menemui pengakhirannya. Takut-takut apa yang dihajati, berciciran bak daun kering yang sudah layu dek terlalu lama ‘bertahan’ kerana malu hendak meluah dan mengatakan yang sebenarnya apa tersirat di dalam hati. Hati mengatakan ‘YA’ tetapi masih bermain tarik-tali dan akhirnya terputus begitu saja dengan sia-sia. Usaha mencari pasangan harus perlu meluah dengan jujur dan jangan ‘bertidak-tidak’ walhal perasaan sudah pun jelas menyintai dirinya. Sehingga ke saat ‘kritikal’ dan jiwa memberontak pun masih lagi ‘bertidak-tidak’ maka tinggallah diri terseksa dan menanggung perasaan kecewa berseorangan menanggung cinta tidak kesampaian. Sedangkan jika hasrat murni itu tadi jika awal-awal disampaikan kemudian ditunaikan, akan dapat menutup sebahagian daripada pintu-pintu dosa. Dengan itu, tidaklah terjadi ‘syok sendiri’ atau SS🙂

Kalaupun si dia bukan jodoh; (kerana dia menolak lamaran anda) namun apabila anda sudah meluah dan menyampaikan hasrat murni anda, sekurang-kurangnya anda tahu dan boleh membuat keputusan selanjutnya; membuang si dia terus dari hati anda daripada duduk sahaja menanti jodoh yang belum pasti kerana bersikap ‘malu-malu’ dan ‘tidak-tidak’ itu tadi. Apabila ini berlaku, kita tahu bahawa pasti ada seseorang yang lebih baik dan sesuai dengan keinginan kita yang Allah telah tetapkan. Maka harus teruskan berdoa dan berusaha selaras dengan niat kita. Ini membuatkan kita lebih dekat dengan Allah dan lebih berserah kepada-NYA. Bukankah, jodoh ini adalah kesabaran dan keajaiban? Apabila anda bersabar dan langsung berdoa tidak putus pada Allah SWT dan terus berusaha ke arah itu, insha Allah pasti berlaku keajaiban yang menggembirakan. Si dia pasti bertemu anda di saat waktu yang tepat!

ISTIKHARAH.

Mukmin yang sejati adalah bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. DIA-lah Pendahulu dan Pengakhiran. Kita mendahulukan-NYA (dengan berdoa kepada-NYA) dan mengakhirkannya dengan tawakkal.  Dan bersyukur selepas memperolehinya. Inilah ISLAM yang terlalu cantik dan indah! Apa jua situasi kita diberi ganjaran jika bergantung dan berserah segala-galanya kepada Allah SWT. Begitu juga soal jodoh, ianya lebih-lebih lagi meminta petunjuk daripada Allah kerana mencari pasangan bukanlah perkara yang remeh-temeh.

Dalam Islam, memohon petunjuk melalui solat di sebut sebagai solat istikharah. Para ulama tidak kira di dalam perkara yang kecil mereka akan mengamalkan solat ini, agar petunjuk sentiasa berada bersama mereka. Apatah lagi jika ia berkaitan dengan perkara yang besar seperti mencari dan memilih teman hidup. Jawapan yang anda bakal perolehi adalah jawapan yang terbaik, secara langsung daripada Tuhan; jawapan yang diilhamkan itu tidak sama seperti perencanaan kita, ia tetap terbaik kerana itu adalah hasil rencana Tuhan.

Oleh kerana itu, istikharah adalah cara terbaik memohon segala petunjuk.

|| Alhamdulillah ||

nota-kaki : article referred from some trusted sources and the rest is the author own ideas, thanx!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s